**AKAN DATANG 2018!! : DRAMA TI AMO SWEETHEART 100 HARI! LAKONAN ZUL ARIFFIN DAN NEELOFA**
&
**KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU LAKONAN ALIF SATAR DAN NANA**

Monday 6 March 2017

SWEETHEART 100 HARI - BAB 13 & BAB 14

BAB 13


Nafas kutarik dalam-dalam dan aku mengesat sisa-sisa air mata di wajah. Di dalam keheningan malam aku berdoa semahu-mahunya supaya Allah menguatkan hati aku. Benar, semenjak terjumpa surat dan gambar-gambar itu, aku rasa jiwa aku punah teruk seperti tidak ada daya lagi mahu hidup. Air mata ini terus mengalir seakan-akan tidak ada tanda hendak berhenti. Di dalam tidur yang dua jam tu pun aku menangis kerana termimpikan lelaki itu. Habis basah selimut tebal dan bantal dengan tangisanku. Namun, setelah melakukan amalan yang Rasulullah SAW dan para sahabat tidak pernah tinggalkan langsung semasa hayat mereka ini, aku berasa sedikit lega. Jawapannya adalah tahajjud.

Mungkin selama ini aku terlalu alpa maka Allah turunkan ujian ini kepadaku. Bukan sebagai hukuman tetapi sebagai tanda kasih sayangnya yang tiada bandingan. Kalau ibu yang melahirkan aku sayangkan aku seperti nyawanya sendiri, apatah lagi Allah, Tuhan yang mencipta aku. Kasih sayang Tuhan berganda-ganda lebihnya dari kasih sayang ibu atau sesiapa sahaja bergelar makhluk. Makhluk tidak ada kuasa tetapi Allah itu maha kuasa.

Di sepertiga malam, usai melakukan solat tahajjud, aku menangis semahu-mahunya menadah tangan dan berdoa kepada Yang Maha Esa supaya jiwa aku kuat dan tabah mengharungi dugaan yang rasanya tidak tertanggung lagi ini.
Aku tidak mahu lagi menumpahkan air mata kerana lelaki itu. Aku mahu hidup seperti sebelum berjumpa dengannya dulu. Biarlah aku hilang cinta manusia dari terus tenggelam dalam arus kesedihan yang berterusan.

Aku pernah terbaca di dalam sebuah buku tulisan Yasmin Mogahed yang aku pinjam dari kawan sekelas dulu tentang ketidakgembiraan atau unhappiness.  Katanya, jika ada satu resepi untuk lara, jawapannya adalah pengharapan kepada manusia.

 Air mata menitis lagi untuk kesekian kalinya. Ayat itu terlalu pedih untuk aku hadam. Terasa seperti kata-kata itu melibas tepat hatiku yang tenat keadaannya ini.

Dua tahun berlalu dan aku masih berharap pada lelaki itu. Benar, mulut dan otak selama ini menipu mengatakan yang aku tidak mengharapkan Issac Iskandar lagi tetapi hakikatnya, hanya hati aku  yang tahu kebenarannya.

Iskandar, saya lepaskan awak sekarang dengan rela hati. Di sepertiga malam ini, ruang untuk awak akan saya tutup serapat-rapatnya. Awak pergilah jauh-jauh dari hidup saya dan jangan lagi pandang saya di sini. Saya hanya mahu bergantung harap dengan Allah SWT.

Ada senyuman akhirnya muncul di bibir bersama hati yang sedikit lapang. Aku mahu redha. Aku mahu terus redha..

Yasmin Mogahed is right indeed, loss; is the returning of what never actually belonged to us in the first place.

Semenjak pulang ke rumah semalam, aku terus mengunci diri di dalam bilik sahaja. Keluar hanyalah untuk ke tandas dan ke dapur untuk minum air. Makan? Aku takde selera langsung. 

Aku tahu Zati sangat risau dengan keadaanku. Tapi, aku memang perlu bersendirian saat ini. Terbayang kepingan-kepingan gambar perkahwinan kami di dalam album yang aku tatap di bilik kerja Iskandar pagi semalam.
Semuanya membawa juraian air mata yang bukan sedikit. Ice bag kualihkan dari kaki. Dua hari berlalu sejak aku terjatuh di rumah Iskandar. Alhamdulillah semakin ringan kaki ini kurasakan.

Ice bag di tangan kuletakkan dalam dulang di atas kerusi yang berada bersebelahan dengan katil. Kemudian, anak mata kulemparkan pada sampul putih yang terdampar di atas bantal di bahagian kiriku.
Di dalamnya berisi segala fitnah yang sudah membuatkan hidupku lara menderita. Aku betul-betul nekad mahu pergi dari hidup lelaki itu, Aku juga berhak untuk bahagia. Aku mahu tuntut fasakh setelah tempoh menjaga Dina tamat. Aku nekad!

Bandage yang terdampar di atas katil kucapai dan aku mula membalut kawasan buku lali yang terseliuh. Ah, gaya macam pro padahal berpuluh kali jugalah aku pause video kat youtube tu tempoh hari. Ada senyuman lucu beraja di bibir. Teringat wajah Dina yang blur apabila aku mengatakan yang aku akan belajar cara membalut kaki dari Youtube. 

Sebuah keluhan berat terlepas jua dari bibir.Apa agaknya reaksi Dina apabila Fatin menjemputnya semalam? 

Sedihkah dia apabila hari ini juga aku tidak berjumpanya? Aku suruh Fatin beritahu Dina yang kaki aku terlalu sakit dan aku perlu berehat di rumah. Aku harap Dina terimalah alasan itu. Bukan aku tak kasihankan Dina, tetapi kepala aku terlalu berserabut saat ini. Lagipun, biarlah kaki aku betul-betul sembuh dulu. Aku tak mahu menyusahkan sesiapa.

"Dina, mama rindu Dina." Perlahan aku menuturkan kata itu dengan hati yang gundah.

***

Tok! Tok! Tok!

Ketukan pada pintu itu membuatkan tangan yang sedang membalut kaki terhenti untuk seketika.

"Masuklah.." Aku bersuara dengan lemah. Kasihan Zati..pasti dia risaukan aku.

Beberapa saat sahaja masa yang diambil untuk gadis berlesung pipit comel ini memunculkan diri di sebalik pintu. Bulat mataku merenung ke arah dulang di tangan 
Zati.

"Malissa..jom makan. Aku dah masakkan nasi ayam tadi." Ujar gadis yang sedang melangkah  dengan laju ke mari.

Sumpah aku rasa terharu.Haa..lunch in bed! Mampu? 

Zati terus duduk di birai katil bersama dulang nasi ayam di atas ribanya. Tangan kembali lincah menyambung sedikit lagi balutan di kaki. Ha! Siap pun.

"Zati..tak payahlah susah-susah nak bawak makanan ke sini pulak. Aku boleh ke dapur kejap lagi." Aku bersuara dengan lemah.  Terus gadis yang memakai sweater hijau ini buat muka tak puas hati.

"Kejap lagi? No no no!"

Mak ai suara! Bagai guruh kuatnya tu. Jari telunjuknya digoyang-goyang ke arahku saat ini.  Terpempan aku seketika.

"Kejap lagi kau tu entah-entah minggu depan. Come on la Lisa..dari pulang ke sini tengahari semalam, tidak ada satu butir makanan pun yang masuk ke perut kau." Cawan berisi air dihulurkan kepadaku.

"Jangan nak buat aku risau!" Tegas kata-kata itu keluar berserta  jelingan tajam. 

Isk, Zati kalau membebel memang boleh bikin bingit telinga ni. Pantas aku mencapai cawan yang berada di tangannya. Aku hirup sedikit dan aku letakkan di atas meja pada sisi katil.

"Susah-susah orang masakkan nasi ayam yang sedap ni..dia buat perangai tak nak makan pulak!" Bebelnya lagi. Aku terus mencubit pipinya.

"Eee..tak habis-habis nak membebel! Thanks lah sebab risaukan aku." Kata-kataku ini membawa senyuman di wajah Zati.

"Terharu tak ada sepupu sweet gile macam aku?" 


Kening kiri diangkatnya beberapa kali dan sengihannya semakin melebar. Aku terus ketawa kecil. Perasan!

"Sweet lah sangat! Aku takde seleralah nak makan.." Ujarku sambil membetulkan duduk. 

Benar, hati aku semakin tenang dan lapang tetapi aku betul-betul tak ada selera nak makan. Sebu terasa perut dengan masalah hidup yang menyakitkan jiwa.

Dari riak wajah Zati itu nyata dia sudah hilang sabar denganku.

"Ke kau nak aku suap?" Sebaik sahaja dia berkata begitu, pinggan nasi ayam yang berada dalam dulang diangkat dan dia kemudian mendekatkan diri ke arahku.

"Ala bucuk bucuk..masam masam intan payung cikebum cikebum..buka mulut sikit." Sudu berisi nasi ayam disuakan ke mulutku sambil ketawa besar. 

Cikebum cikebum? Dia ingat aku Dina ape?!

"Isk! Ape ni!"

Bibirku mula mencebik geram. Mahu tak mahu, sudu berisi nasi kucapai dengan penuh hati-hati dari tangannya.

"Aku boleh makan sendiri la!"
Sudu di tangan aku suapkan ke dalam mulut.

Hmm..not bad.  Nyata Zati puas hati melihat aku menjamah makanan yang dimasaknya. Mungkin kerana semenjak semalam tak makan, laju pula aku menjamah nasi ayam yang dimasak Zati. Sepanjang aku makan, gadis itu tak bersuara langsung. Tanpa sepatah kata, dia bangun dan keluar dari bilik. Aku pula masih memfokuskan makanan pada nasi di dalam pinggan yang hanya tinggal suku. Takde selera konon! Masuk je nasi ayam ni sesudu dalam mulut, terus bagai orang kebulur aku makan. Tapi, masakan Zati memang sedap pun.

"Kau tak makan?" Soalku apabila Zati kembali bersama hadiah yang berbalut cantik di tangannya.

"Aku dah makan tadi." Luahnya sambil tersenyum.

Tidak aku bertanya tentang hadiah di tangannya itu. Mungkin hadiah hari jadi untuk salah seorang crush dia kut!

Dia kemudiannya melabuhkan punggung kembali di sisiku. Pinggan yang sudah licin di tangan kuletakkan dalam dulang di atas meja. Cawan berisi air suam kucapai dan aku menghirupnya sedikit.

"Apa yang sebenarnya dah terjadi, Lisa?" Akhirnya Zati bersuara. 

Demi Allah lidah aku terus kelu saat ini. Bukan aku tidak mahu bercerita tetapi tidak tahu bagaimana hendak memulakannya.

"Kalau kau diam je..macam mana aku nak tolong kau?" Akhirnya Zati mengeluh berat. 
Posisi duduknya dibetulkan supaya rapat sikit dengan aku. Aku terus meraupkan wajah dengan kedua-dua belah tangan untuk seketika.  

"Takde siapa yang boleh tolong aku Zati. Hanya aku yang boleh tolong diri sendiri." Luahku lemah.

"Okay fine!" Kedua-dua belah bahunya dijungkitkan ke atas. Kemudian dia bersuara lagi.

"Aku tak boleh tolong kau tapi kau kongsilah cerita dengan aku. Mana tahu setelah kau lepaskan semuanya kau akan lega." Zati masih cuba untuk mencari sebab musabab aku sedih sampai seteruk ini. 

Lambat-lambat aku mencapai sampul putih yang terdampar di atas bantal dengan hati yang gulana. Masih teragak-agak untuk menyerahkan sampul itu kepada Zati.

"Contohnya kan..macam kau sakit perut sangat-sangat..ha..bila kau lepaskan semuanya..legaaa je rasa." Kata-kata Zati yang ini membuatkan aku ketawa kecil.

"Isk! Kau ni tak senonoh betullah!" Aku menampar bahunya. Bengong betul si Zati ni..boleh pula dia pejamkan mata bila sebut perkataan lega tu!

"Boleh pun ketawa. Ingatkan urat kau dah putus tadi..masam je muka tu." Bidas Zati sambil mencebikkan bibir. Kurang asam betul sepupu aku sorang ni. Dengan lemah aku meletakkan sampul di tangan di atas riba Zati.

"Apa ni?"
Soalnya pelik. Berkerut dahi budak ni.

Aku tidak menjawab soalannya. 
Hanya melihat gelagat Zati yang sedang mengeluarkan isinya dari sampul itu sahaja. Kepingan gambar-gambar itu kini berada di tangannya. Terlopong luas mulut gadis ini. Pantas sebelah 
tangannya menekup mulut.

"Malissa.."

Akhirnya terlepas juga kata-kata dari bibirnya. Namun itu sahaja yang mampu dikatakan. Pandangannya jatuh lagi pada 5 keping gambar di tangan. Nampak sangat serabut keadaannya meneliti gambar-gambar itu silih berganti.

"Siapa ni?" Ada juga soalan yang keluar dari mulutnya.

"Abang Hilman. Dia ni pemilik syarikat tekstil, Sutera Trading, pembekal kain untuk butik ibu. Ibu memang dah biasa menjalankan perniagaan dengan keluarga Abang Hilman." Jawapanku membuatkan Zati yang masih lagi tergamam menganggukkan kepalanya sedikit.

"Owh.." Itu sahaja yang mampu keluar dari mulutnya. Tangan aku menggenggam seketika tangan kiri Zati.

"Demi Allah aku tak ada apa-apa dengan dia Zati. Masa gambar ni diambil kami bertiga hendak ke gudang kain bersama-sama. Ibu pun ada sekali ni." Ujarku dengan bersungguh-sungguh.

"Jangan-jangan si Hilman ni yang punya kerja! Kau pernah cerita yang Hilman meminang kau baru-baru ni kan?"

Berderau darahku dengan pendapat Zati. Gadis itu merenung ke arahku dengan wajah yang serius. Demi Allah, mengenali Abang Hilman, dia tidak langsung masuk dalam senarai suspek dalam kes aku ni. Tapi, saat ini aku mula memikirkan logiknya tuduhan Zati itu. Mungkinkah?

"Apa ke punya samdol, pergi pinang bini orang!!" Marah Zati. Tidak dapat ditahan ketawa kecil aku jadinya saat ini sambil menggelengkan kepala.

"Samdol? Dah lama aku tak dengar perkataan tu." Ujarku sambil menepuk bahu gadis yang turut sama tersengih ini. 

Betullah bila bersama Zati, aku boleh jadi sedikit gembira.

"Abang Hilman tu..setelah aku ditinggalkan Iskandar barulah dia ada meluahkan hasrat untuk memiliki aku pada ibu. Aku tak tahu atas dasar cinta atau simpati dengan nasibku. Yang pasti, sekelumit perasaan pun aku takde dengan dia, Zati." Jujur aku meluahkan apa yang bertapuk di dalam hati. 

Bagaimana nak hidup dengan seseorang yang aku tak langsung cinta? Lagipun, lelaki gopoh macam Abang Hilman bukan pilihanku. Tak suka lah!

"Mak Ngah rapatlah ye dengan dia ni?" Soal Zati dengan wajah yang simpati.

"Dengan mak Abang Hilman pun ibu rapat. Mereka sekeluarga ni pernah bantu ibu dulu..ketika butik kami mengalami masalah. Masa tu aku belum berkahwin dengan Iskandar pun lagi." Jawapanku membuatkan gadis ini bersuara lagi.

"Siapa suspek utama kau?"

"Entah. Mungkin juga mak mertua aku Datin Seri Ainon  yang punya kerja? Sebab dia aje yang paling bencikan aku dalam dunia ni.." Luahku lemah. Zati pantas mengusap lembut tanganku.

"Well, aku tahu kau takde apa-apa dengan si Hilman ni tapi kalau aku jadi Iskandar pun aku akan kecewa tau bila lihat gambar ni. Aku tahu gambar ni memang diambil dari angle yang salah!!" Luah Zati dengan sangat marah sambil memfokuskan pandangan pada gambar di tangannya.

"Tengok ni, takkanlah sesuka hati kau kasi dia sentuh pipi kau pulak." Tempelak Zati dengan geram. Dengan wajah yang sayu aku merenung ke arah Zati.

"Demi Allah Zati. Mana dia ada sentuh pun. Kebetulan dia angkat tangan dan aku pula menoleh ke arahnya. Gambar ini sengaja diambil dari angle yang nampak seperti dia menyentuh pipi aku." Terangku dengan bersungguh-sungguh. 

Zati pantas menganggukkan kepalanya. Aku tahu dia percayakan aku. Pantas aku menarik sekeping gambar dalam genggamannya.

"Kau tengok gambar ni. Nampak macam rapat sangat kami berjalan kan? Padahal mana ada..ada jarak kut..kerbau pun boleh mencelah!" Ujarku sambil menundingkan jari pada gambar di tangan. Kata-kata aku nyata membuatkan gadis ini ketawa besar.

"Apesal kau tak petik dinasour je tadi?" Aku juga turut sama tersengih.

"Besar sangat tu Dinasour." Aku masih lagi tersenyum. Zati merenung ke arahku dengan pandangan yang sangat simpati.

"You seem stronger today." Luahnya.

Aku cuba, Zati..aku sedang mencuba untuk jadi kuat. Kata-kata ini hanya terbuku di dalam hati sahaja. Risau kalau meluahkannya di bibir aku jadi sayu.

"Ada surat kat dalam tu. Bacalah." Ujarku kepada Zati apabila teringat tentang surat lusuh di dalam sampul itu.

Kelam-kabut Zati menyelongkar. Beberapa saat sahaja, surat lusuh itu telah dibuka lipatannya dan sedang seluruh fokusnya kini hanyalah pada surat di tangan. Hati aku mula dijentik kepiluan. Mata yang sedikit berkaca kupejam rapat sebelum membukanya kembali. Nyata, Zati sedang merenung ke arahku dengan pandangan tidak percaya. Blur terus aku lihat wajahnya.

"Malissa.."

Hanya itu sahaja kata-kata yang mampu keluar dari bibirnya. Aku pula pantas meraupkan wajah dengan kedua-dua belah tangan.

"Aku tak karang surat tu Zati...tapi.." Kata-kataku hanya tersekat di situ sahaja.

 Anak mata kupejam rapat. Masih cuba memaksa otak untuk mengingat kembali sekiranya aku ada menanda tangan apa-apa dokumen tanpa membacanya terlebih dahulu dua tahun yang lepas.  

"Tapi?" Soalan Zati membuatkan aku membukakan mataku kembali.

"Tapi, itu memang tandatangan aku. Aku buntu..aku tak tahu masa bila aku sign surat tu.."  Luahku dengan hati yang libang-libu.

"Samdol mana yang nak tengok rumah tangga kau hancur sangat ni? Bangkai betul hati orang tu." Zati sudah mula mengusap bahuku lembut.

Surat di tangan dimasukkan kembali ke dalam sampul bersama kepingan-kepingan gambar di atas ribanya. Bersama helaan nafas berat dia merenung ke arahku.

"Kau ada pernah tandatangan apa-apa tak dua tahun yang lalu?" Soalannya kujawab dengan gelengan.

"Mungkin kau tak baca dan kau terus sign.." Ujarnya lagi.

"Mana ada.." Jawabku dengan bersungguh-sungguh.

"Cuba kau ingat betul-betul.." Zati mula memaksa aku. Aku tahu dia juga turut sama tertekan untuk merungkai misteri ini.

Aku melepaskan keluhan berat. Nafas aku tarik dalam-dalam sambil menyebakkan rambut yang terjuntai ke pipi kembali ke belakang.

"Masa tu umur aku 21 tahun Zati..aku belum pun uruskan butik ibu lagi. Apalah sangat dokumen yang ada untuk aku sign pun masa tu?" Soalanku membuatkan Zati memicit ganas kepalanya dengan kedua-dua belah tangan. Terpempan aku seketika.

"Erghh! Siapa agaknya yang buat semua ni??" Jeritan kecil keluar tanpa diduga dari mulutnya. Kalau Zati pun boleh stress, bayangkan aku yang menanggungnya ni? Senyuman tawar kupaksa muncul di bibir. Peha Zati kutampar lembut.

"Aku dah tak peduli Zati..siapa yang buat, kenapa dia buat macam ni..semua soalan tu dah tak penting lagi." Luahku tenang walaupun hatiku mula berkecamuk kembali.

"Maksud kau? Kau tak kisahlah? Kau tak pedulilah rumahtangga kau hancur?" Soal Zati sedikit tak puas hati.

 Siapa yang tak kisah kalau rumahtangganya hancur berderai, Zati. Hati aku mula dijentik rasa sayu. Aku cuba untuk senyum lagi. Dengan mata yang berkaca, aku bersuara.

 “Zati, Loss; is the returning of what never actually belonged to us in the first place." Luahku lemah. Zati mengangkat sebelah keningnya.

"Reclaim your heart by Yasmin Mogahed."  Kata-kata Zati membuatkan aku menganggukkan kepala beberapa kali. Nampaknya Zati dah baca buku tu.

"Kau dah baca ke buku tu?" Soalnya dengan sedikit hampa. Belum sempat aku memberikan sebarang reaksi dia bersuara lagi.

"Ala..aku baru nak hadiahkan kau." Luahnya perlahan.
Teruja aku jadinya. Dengan mata yang bersinar aku bersuara.

"Nakkk! Memang aku dah baca tetapi buku tu aku pinjam dari kawan aku lama dulu. Dah pulangkan balik pun."  

Dengar sahaja kata-kataku itu, Zati mencapai hadiah yang terbungkus cantik di sisinya dan dihulurkan kepadaku. Pantas aku mencapainya dan kubawa ke dada.

"Thanks Zati..aku memang perlukan sangat-sangat buku ni sekarang." Buku yang masih berbalut di tangan kupeluk erat-erat saat ini.

"Kehilangan adalah mengembalikan sesuatu yang dari awalnya lagi bukanlah untuk kita. Dari awal lagi Dato' Issac Iskandar bukan jodoh aku." Kesimpulan yang aku buat membuatkan Zati merenung ke arahku dengan wajah yang serabut.

"Malissa..bila kau tenang macam ni, aku bertambah risau. Benda masih boleh bincang..kau janganlah menyerah dulu. Aku percaya dia masih cintakan kau." 

Aku tahu dia cuba memberikan aku semangat tetapi ayat itu juga akan membuatkan aku untuk terus berharap. Pantas kepala kugelengkan ke arah Zati.

"Aku juga berhak untuk bahagia. Jadi, aku mesti berhenti berharap pada sesuatu yang tak pasti. Dia memang bukan untuk aku dan aku dah tak kisah kehilangan dia asalkan aku ada Allah." Ujarku dengan sangat tenang.

Mata Zati kulihat mula berkaca. Pantas dia menggenggam tapak tangan kananku dengan erat.

"Lisa.."

Aku tahu dia kehilangan kata-kata saat ini. Hanya pandangan simpati sahaja yang mampu dihadiahkannya untuk aku. Perlahan-lahan aku menganggukkan kepala.

"Aku redha."

Susahnya untuk aku mengungkapkan ayat itu. Seikhlas hati aku cuba untuk redha saat ini. Terus sahaja Zati memeluk bahuku dengan kemas.

"Takpe lah..kau masih ada aku, Lisa. Walau semua orang berpaling dari kau sekalipun, kau kena ingat yang kau masih ada aku." Luah Zati dengan bersungguh-sungguh, mampu untuk buat aku terharu.

"Thanks Zati."

Perlahan sahaja ayat tersebut keluar dari bibir bersama mata yang mula memberat dengan air jernih.
***

BAB 14




Anak mata kulemparkan kosong ke arah sebuah keluarga yang sedang beriadah di taman ini. Bahagianya mereka. Budak kecil berumur dalam lingkungan lima atau enam tahun yang turut sama berbasikal itu membuatkan perasaan rindu aku kepada Dina semakin membuak-buak.
Sudah empat hari berlalu semenjak tarikh aku terjumpa bahan fitnah yang menyebabkan Iskandar meninggalkan aku tanpa khabar berita dua tahun lepas. Tidak langsung lelaki itu bertanyakan tentang hal aku pada Fatin. Jelaslah dia dah tak perlukan aku dalam hidupnya.

Nafas aku tarik dalam-dalam.
Sesungguhnya perasaan tertipu dan marah yang merasuk jiwa telah membuatkan hati lelaki itu menjadi  keras seperti besi yang tidak mudah lagi untuk dilentur. Jiwanya mati untuk seseorang yang bernama wanita. Tidak mungkin bernafas kembali, mungkin.Ah, kesalahan kami sama sahaja, terlalu berharap pada makhluk yang bergelar manusia. Maka inilah padahnya buat kami berdua. Rasa sakitnya tu bukan calang-calang.

 Aku meraupkan wajah  dengan kedua-dua belah tangan untuk seketika. Dari atas bangku kayu ini, kepala kudongak ke atas sana. Anak mata merenung ke arah awan yang membiru. Ada senyuman di bibir apabila sekawan burung melintasi ruang penglihatanku. Damai terasa hati.

Syukur, aku semakin tenang apabila tidak perlu bertentangan mata dengan lelaki itu. Tapi, apabila teringatkan cerita Fatin semalam, aku jadi gelisah. Hari pertama hingga ketiga, Fatin masih mampu memujuk Iva Irdina. Tapi semalam, budak comel tu dah mula buat perangai. 

Mulalah dia merengek agar Fatin bawa dia berjumpa dengan aku. Anak mata berada pada kaki kanan yang cedera tempoh hari. Kaki ini sebenarnya sudah 80 peratus sembuh cuma aku sahaja yang menunda waktu untuk kembali ke apartment mewah itu. Coat di tubuh kubutangkan gara-gara angin sejuk yang semakin kuat pula berderu. Berkerut sedikit wajah saat ini.

Aku pun tidak tahu bila hendak ke sana semula. Tengoklah lagi dua tiga hari lagi. Aku mahu kuatkan dulu hati aku ini supaya apabila berhadapan dengannya nanti, tidaklah ada lagi perasaan-perasaan yang bukan-bukan menggangguku.

 Bunyi mesej yang baru masuk membuatkan aku mengeluarkan telefon bimbit dari dalam poket coat. Lincah jari telunjuk berlari pada skrin.

"Malissa..where are you?"
Siapa lagi kalau bukan Zati yang mengirim mesej itu! Pantas aku membalas.

"Taman. Aku balik sekarang."
Telefon di tangan kumasukkan kembali ke dalam poket hadapan coat yang membaluti badanku dan aku terus bangun.

Dengan berhati-hati aku melangkah menuju ke arah bangunan lima tingkat yang tersergam di bahagian kananku. Lega betul apabila kaki ni semakin pulih. Dah boleh jalan macam biasa dah pun cuma normallah, saki baki sakit dan bisa-bisa tu masih ada sedikit.  Pemegang besi pada pintu utama kutarik dan aku mula melangkah masuk ke dalam lobi. Kemudian, aku menapak ke arah kiriku. Kunci kukeluarkan dari dalam poket jaket dan aku mulalah membuka pintu.

"Malissa!"

Terkejut beruk aku jadinya apabila gadis yang memakai tudung biru ini menerpa ke arahku di muka pintu. Apa hal ni? Pakai tudung dalam rumah? Pucat semacam pulak tu!

"Kau dah kenapa? Macam nampak polong!" Bidasku geram. Nasib baik tak terhenti jantungku ni. Pantas Zati menganggukkan kepala. Aku terus tak jadi nak buka kasut.


"Memang ada polong pun! Tapi polong ni handsome." 



Ada sengihan di hujung ayat membuatkan aku tersentak. Lain macam ni.


"Kau jangan main-main.."



Anak mata terus kuliarkan ke arah rak kasut. Ha! Masakan aku tak kenal boots Frozen warna pink - biru tu! Kemudian, kasut Clarks di tepinya tu pula mestilah kepunyaan papanya! 

Aduh, jantung aku mulalah buat hal. Tenang Lisa..tenang. Pantas tanganku memegang lengan Zati. Anak mata kuliarkan ke arah ruang tamu yang terlindung dari sini.

"Zati, dengar sini." Bisikku dengan perlahan.

"Aduh..kau cakap aku balik lewat. Aku tak nak jumpa dia."
Terlopong jadinya gadis ini. Belum sempat dia memberikan jawapan, kedengaran suara halus bergema di ruangan ini.


"Mama!!"

Pantas aku menoleh ke kanan. Tergamam aku jadinya.
Bukan sahaja Dina, tetapi Iskandar juga sedang berdiri di situ bersama renungan helangnya memanah ke mari. Alamak..dia dengar tak plan aku nak lari dari berjumpanya tadi?

"Mama, I miss you so much!" Dina kini sudah memeluk tubuhku. Pantas aku mencangkung supaya dapat melihat wajahnya dengan jelas saat ini.

"Ya Allah..rindunya mama dengan Dina.." Tubuh kecil ini aku dakap erat-erat.

" Kenapa mama tak datang jumpa Dina?" Soal Dina dengan wajah yang masam. Rambutnya kuelus lembut. Belum sempat aku menjawab Dina bersuara lagi.

"Dah empat hari mama tak datang tau." Empat jari dilayangkan tepat ke wajahku membuatkan aku ketawa kecil. 


"Mama sakit sayang.." Itulah alasan yang aku berikan. Dina merenung ke arahku dengan sayu. Pantas aku mencubit lembut pipinya.



"Dina..janganlah sedih. Nanti mama pun sedih jugak.."  



"Kalau macam tu, mama janji, mama mesti datang esok."

Aku hanya mampu menelan liur saat ini. Tidak mengangguk dan tidak menggeleng. Anak mata kularikan ke arah Fatin dan Zati yang sedang bersandar pada dinding dan memerhati sahaja drama sebabak di antara aku, Iskandar dan Dina.
Bersediakah aku untuk berhadapan dengan lelaki itu? Elok-elok hati aku dah tenang, karang dilanda tsunami lagi. Baru hendak memikirkan alasan yang sewajarnya kepada Dina, suara Iskandar memenuhi ruangan ini.

"We need to talk." Ujarnya yang sedang melangkah ke mari.

Aku hanya memandang sekilas sahaja ke arah lelaki yang segak dengan jaket hitam di badan itu. Muffler dari rona biru gelap dan kelabu di lehernya membuatkan penampilannya yang simple itu kelihatan menarik.

"Dina main dengan Kak Fatin dan Kak Zati kejap. Mama nak berbincang dengan papa. Nanti mama datang ya?" Ujar aku kepada si kecil Dina. Pantas dia menganggukkan kepala.

"Mama dan papa bincang aje tau. Jangan gaduh-gaduh tau."

Tergamam aku dan Iskandar saat ini. Aduh..Dina ni cerdik budaknya. Mesti dia perasan aku dan Iskandar asyik bertekak aje tempoh hari.

 Kepala yang tak gatal kugaru dan aku terus melangkah keluar dari apartment yang disewa Zati ini.

***



Aku hanya bersandar sahaja pada dinding lobi. Canggung betul rasanya hati apabila terpaksa berada di dalam situasi ini. Sedaya upaya aku cuba untuk tidak memandang ke arahnya walaupun aku tahu mata chestnut brown miliknya itu sedang tenung aku! Apa masalahnya ni? Nak jumpa sebab nak tenung muka aku je ke apa?

 Jantung..jangan buat hal ye? Awal-awal lagi aku dah kasi warning.
Pandangan kulemparkan ke arah deretan pasu-pasu yang ditanam dengan pokok kaktus yang menghiasi sudut kanan lobi kecil ini. Entah siapa yang rajin sangat tanam kaktus pun tak tahulah aku.

"You have nothing to say? Then, saya masuk dulu." Akhirnya aku bersuara.

Baru setapak melangkah lelaki ini mencengkam lenganku. Tergamam aku jadinya. Pantas aku merenung ke arahnya dengan riak wajah tak puas hati.

"Then, just cakaplah apa awak nak cakap." Sedaya upaya aku melepaskan pegangan tangannya di lenganku.

"You accepted the offer..kemudian menghilang." Akhirnya Iskandar bersuara dengan sangat tidak puas hati.

"Any explanation?" Soalnya sinis. Anak matanya masih berlari ke serata wajahku.


"Saya sakit kaki."



Aku hanya berdusta. Kalau sakit kaki, aku masih boleh gagahkan diri menjaga Dina tetapi masalahnya hati aku yang cedera parah setelah terjumpa surat dan gambar-gambar tu.

"Bukan sebab kau dah jumpa gambar tu?" Soalannya mampu membuatkan aku terdiam. Bagai ditembak tepat pada jantung, bulat mataku bertentangan dengan mata helangnya. Kelu lidah jadinya saat ini.Berdebar dada saat ini.

Maksudnya apa ni? Maksudnya Iskandar tahu aku geledah bilik kerjanya? Atau adakah dia memang sentiasa buka album itu? Jadi, dia tahu ada benda yang hilang?

"Kau terkejut aku ada bukti kecurangan kau?" Tidak ada bentakan tetapi kenapa ayat itu mampu membuatkan darah aku berderau mendengar soalan itu? Bagai disiat-siat hati ini dituduh curang.

Aku lihat tenang sahaja dia keluarkan sesuatu dari dalam poket jaketnya.

"Aku jumpa cincin ni di sebelah kotak."

Alamakkkk! Macam mana aku boleh tak perasan tentang cincin nikah aku tu? Aduh..mesti terkeluar dari dalam seluar! Aku hanya membatu sahaja dengan pelbagai rasa yang sudah mengisi ruangan hati. Tidak ada daya lagi hendak membela diri. Walau bahasa apa yang aku guna, ayat apa yang aku petik, dia tetap tidak akan percaya. Sesungguhnya aku sudah tidak berdaya. Hanya kepiluan sahaja yang memenuhi segenap ruangan hati saat ini.

"Tak payahlah nak karang cerita untuk bela diri. Aku dah muak. Aku datang sini semata-mata kerana Dina." Aku hanya mampu memejamkan mata saya untuk seketika mendengar kata-kata sinis itu.

"Dina was awake the whole night. Hari ni pun tak ke sekolah." Kata-katanya yang ini membuatkan aku membuka mata dengan sebesar-besarnya. Padanlah lemah sahaja keadaannya tadi.

"Jadi, salah saya ke?" Entah kenapa sakit hati dengan kata-kata Iskandar tadi mendorong aku untuk membidasnya begini. Padahal dia  tak menyalahkan aku pun. Tegang wajah lelaki ini merenung ke arahku.

"Iskandar..Dina tu anak awak. Awak tak boleh terlalu bergantung pada saya." Aku menyerangnya lagi.

"Mana Rania? Mana mummy awak?" Suara aku sudah naik satu oktaf. Kedua-dua manusia itu adalah insan penting dalam hidupnya saat ini, bukan? Seorang ibu, seorang bakal isteri. Mana mereka? Kenapa Rania tak pernah cuba ambil hati Dina?

"Mana???" Bentakku dengan geram. Tidak peduli lagi dengan dua orang pelajar yang baru masuk ke dalam lobi ini. 


"You're getting married soon. So, fikir macam mana untuk buat Dina lupakan saya dan terima Rania." Ucapku dengan geram dan terus berlalu.



Tidak, aku tidak ambil pun cincin di tangannya tu. Kisah aku dan dia sudah berakhir dan aku tak perlukan lagi cincin itu.


"Tak payah nak ajar aku. Esok aku nak kau yang datang jaga Dina, not Fatin. Period." Kedengaran suara lelaki itu bergema di belakang sana.



"Diktator!" Aku berkata dengan kuat pada diri sendiri. Memang aku nak dia dengar pun!Panas pula hati aku. 

***
Sudah dua hari aku cuba untuk tidak berhadapan dengan lelaki itu setelah kembali bekerja di sini. Bagai pencuri, setiap kali nak keluar bilik, terjenguk-jenguk aku jadinya. Dina juga kadang-kadang jadi mangsa aku. Suruh ambil itu, ambil ini..siap suruh dia check line lagi..sama ada clear atau tak. Aku dah buat keputusan untuk jaga hati aku baik-baik. Aku tak nak lagi dirundung pilu dan sayu macam dulu tu. Strateginya saat ini adalah mengelakkan diri dari lelaki itu.

"Dina..papa ada kat luar tak?" Soalku kepada Dina apabila anak dara sunti tu masuk ke dalam bilik.


"Tak ada. Papa kat bilik." Jawabnya sambil melangkah ke mari. Yes! Line clear! 



"Good. Mama ambilkan makanan ya?" Pantas aku bangun dari sofa dan terus melangkah ke arah pintu.



"Okay." Dina hanya menganggukkan kepala sahaja. 



Sweater biru di badan kubetulkan dan aku mula melangkah keluar dari bilik.

Langkah kaki kuatur menuju ke arah dapur dengan cermat. Kalau boleh aku tak mahu hasilkan apa-apa bunyi sekalipun. Semuanya gara-gara tidak mahu terserempak dengan Iskandar.

perlahan-lahan aku membuka tudung periuk. Sup ayam aku sendukkan dengan cermat ke dalam mangkuk. Baru sahaja ingin menutup periuk kembali, bergema suara deheman di ruangan ini membuatkan aku terkejut beruk.

"Ahem!"

Nasib baik tak terlepas tudung  periuk yang kupegang dari tangan. Pantas aku mendongakkan wajah dengan geram ke arah lelaki itu.

"Lain kali boleh tak jangan buat saya terkejut macam ni?" Marahku sambil bercekak pinggang dengan sebelah tangan.

Geram betul! Periuk kututup dengan cermat dan aku mencapai dulang. Iskandar hanya bersandar pada meja pulau sambil berpeluk tubuh. Dia ni memang suka tenung aku ke apa? Ah! Masalah ni! Hati yang selama ini tenang mulalah berkocak. Canggung rasa hati. Serba tak kena nak buat kerja!

"Kau dah tak nak cincin ni?"

"Tak kisah. Kalau awak pulangkan balik, saya ambil. Kalau awak kasi Rania,  saya okay je." Sindir aku dengan pedas tanpa memandang ke arahnya. Kemudiannya aku menuangkan air ke dalam cawan khas untuk Dina.

Kenapa pula lelaki yang memakai sweat shirt hitam itu sedang menghampiriku? Alamak, susah nak selamba dah ni. Pantas aku menoleh ke arahnya.
"Boleh pun pandang sini." Gumamnya dengan perlahan tetapi mampu untuk aku dengar dengan jelas. Apa masalah dia ni?



"Awak nak apa sebenarnya?" 



Soalku dengan geram.



 Anak matanya berlari ke serata wajahku saat ini. Kan aku cakap, dia nak tenung-tenung aku je. Dah kenapa?? Jantung aku mulala buat hal. 



"I hate it when people look away while I'm talking."

Pulak! Ha, sekarang aku dah tengok kau, cakap aje lah!

"Okay fine! Dato' Issac Iskandar, sekarang ni saya dah buka mata saya besar-besar untuk pandang 
awak. Apa yang awak nak cakap?"



"Memang betul cincin ni dah tak bawa apa-apa makna dalam hidup kau kan?"



Aku tidak tahu sama ada mahu menggeleng atau mengangguk. Kenapa dia selalu meletakkan aku dalam keadaan yang sukar?

"Hmm..semenjak awak tendang saya dari hidup awak, cincin ni memang dah takde makna dalam hidup saya." Perlahan aku menuturkan kata-kata itu dengan hati yang pilu.

Dulang berisi nasi dan sup ayam kucapai dan aku mula
 menapak keluar dari ruangan dapur. Air mata yang sudah beberapa hari tidak mengalir kini laju membasahi pipi.

Iskandar..mana mungkin saya tak mahukan cincin tu? Separuh nyawa saya sayangkan cincin tu..tapi, saya juga ada maruah.

***
Sejuk betul hari ini. Sebelah tangan menjinjing beg sekolah Dina manakala sebelah lagi tangan membuka kunci pada pintu. Ops, ada tetamu rupanya. Siapa agaknya lelaki melayu tu? Sibuk benar dia menerangkan itu dan ini bersama fail di tangannya. Anak mata kemudian berlari pada fail yang bersusun di atas meja. Apabila terpandangkan  topi hitam yang terdampar di atas meja itu, hatiku terus diruntun rasa resah.
Seperti pernah aku lihat topi itu, tapi di mana ya? Hati aku betul-betul tak sedap sangat ni. Dina juga seperti teragak-agak untuk melangkah ke ruang tamu. Mana tidaknya, bukan papanya sahaja yang ada di situ tetapi ada orang lain di dalam rumah ni.Terus aku mencangkung di hadapan rak kasut ini.

"Dina..siapa tu? Dina pernah jumpa?" Bisikku dengan sangat-sangat perlahan ke arah Dina sambil membuka kasutnya. Pantas Dina dengan wajah yang tegang mendekatkan bibirnya ke telingaku. 



"Dina tak suka dia sebab dia rapat dengan Auntie Rania dulu. Dia pekerja papa tetapi dia kawan Auntie Rania juga."


"Ha?"

Terkujat aku jadinya. berkerut wajah mendengar jawapan yang dibisikkan oleh Dina. Dina kulihat menjeling tajam ke arah lelaki itu. Amboi, garangnya!  Apabila aku lihat mata lelaki itu berada pada kami di sini, aku terus berbisik pada Dina.

"Dah, pergi salam papa."
Pantas daddy's little girl ini berlari ke arah papanya yang kelihatan sangat sibuk itu.

"Anak papa dah balik?"

 Apa lagi, semakin lebarlah senyuman apabila Iskandar memeluknya dengan erat begitu. Iskandar kulihat mengucup lembut pipi anak kesayangannya itu.
Sisi penyayang lelaki itu semakin terserlah apabila dia mengelus lembut rambut anak tunggalnya itu sambil menyoal itu dan ini tentang aktiviti Dina di sekolah tadi. Tidak mahu terbawa-bawa dengan kenangan lalu, dengan wajah yang serius, menonong sahaja aku melintas di hadapan mereka dan terus menuju ke bilik Dina.
Beg sekolah Dina di tangan kuletakkan di atas kerusi yang terletak di hadapan meja belajarnya. Kemudian, aku mula mencapai tuala dengan hati yang gelisah. Terbayang  insiden yang berlaku dua bulan yang lepas.

“This is for you. I know you’ve been looking for Issac Iskandar all these years. So, good luck, Maira Malissa!”

Adakah dia lelaki James Bond tu?! Lisa, come on..topi hitam macam tu kat mana-mana pun ada lah. Bukan dia je yang ada topi jenis itu dalam dunia ni. Nafas kutarik dalam-dalam dan aku mula melangkah ke arah almari baju Dina. Baju gaun labuh berwarna turquoise kucapai dan aku bawakan ke katil.
Memang inilah rutin harian Dina. Setelah pulang dari sekolah, dia akan mandi, dan kemudian, aku akan hidangkan makanan yang aku masakkan untuknya tadi.

"Mama!" Sergahan budak comel ni berjaya membuatkan aku terkejut. Terus aku memusingkan tubuh dengan wajah yang masam ke arahnya.

"Terkejut tau mama.." Tangan kanan melurut dada saat ini.

Apa lagi, ketawa sakanlah dia. Memang itu pun objektif dia. Aku juga turut sama ketawa sambil menghampirinya. 

Tubuh kurendahkan dan sebelah tangan mengelus lembut rambut yang ditocang satu ini.

"Dina..jom kita mandi dulu. Mama masak spaghetti bolognese tau hari ni."

Senyum sampai ke telinga jadinya dia. Bukan aku tak tahu dia suka benar dengan spaghetti!



"Mama masak lebih tak?" Soalannya membuatkan aku terdiam seketika. Setiap kali masak, memang beriya-iya dia akan suruh aku masakkan lebih. Walau sudah tahu jawapannya, aku tetap juga bertanya.



"Kenapa?"


Seperti biasa, jawapan yang diberikan tetap juga sama. 


"Untuk papa..mama masak lebih tak?"



Anak papa betul! Gusar wajah tu menanti jawapan dariku.

"Ada je..tapi Dina lah yang berikan pada papa nanti ya?" Ujarku sambil meletakkan baju di atas tilam empuk itu dengan cermat. 



"Kenapa mama selalu nak elak-elak dari papa?"



Tersentak aku mendengar soalan darinya. Alamak..apa aku nak jawab ni? Kepala yang tak gatal kugaru dan aku menoleh ke arah mata bundar tu. Hati aku tersentuh saat ini. Sedihkah dia dengan keadaan aku dan Iskandar?


"Bukan macam tu..papa memang suka Dina yang hantar makanan kepada papa. Dina kan comel.." Senyuman lebar kuhadiahkan untuknya saat ini. Harap-haraplah dia yakin dengan alasan aku.



"Ye ke?" Soal Dina kemudiannya.

Pantas aku menganggukkan kepala. Dina kemudiannya memeluk tubuhku dengan sangat erat.



"Mama..boleh tak Dina makan dulu sebelum mandi?" Kata-katanya membuatkan aku ketawa besar. Oh pandai betul..patutlah tiba-tiba peluk, rupanya nak minta sesuatu.


"Dina lapar..."



Nada suara sayu tu dah keluar. Siap gosok perut lagi. Makanya, aku terus jadi tak sampai hati.


"Mestilah boleh..sekejap ya, mama ambil makanan di dapur." Ujarku kepadanya. Tuala kuletakkan di atas katil dan aku mula melangkah ke arah pintu. Tudung di kepala tidak kubuka kerana ada orang asing di dalam rumah ni.



"Dina buka jaket tu dulu ya." 

Pesanku sebelum menutup pintu.

Laju aku melangkah saat ini menuju ke dapur tetapi entah kenapa, bagaikan ada magnet pula yang menarik aku untuk melangkah ke arah ruang tamu. Di sebalik dinding aku berdiri dan aku mula menjengukkan kepala sedikit.
Nampak lelaki itu seperti sedang mengeluarkan sampul dari dalam begnya. 

 Aku kembali menyembunyikan diri di balik dinding. Isk, aku kenal juga dengan staf-staf di pejabat Iskandar dulu..tetapi dia ni, memang aku tak pernah nampak.

"Dato, Issac..terima kasih kerana beri saya peluang untuk mencari rezeki di syarikat Dato' tetapi saya tak layak untuk terus berada di dalam syarikat ini."


"Apa yang kau mengarut ni, Fendi?" Soal Iskandar dengan serius. Aku pula entah kenapa, masih di sini. Kepo betul kau ni Malissa! Tapi aku memang tak sedap hati semenjak ternampak dia ni tadi.Topi hitam di atas meja tu mengingatkatkan aku pada lelaki misteri yang berikan alamat Iskandar kepada aku dulu.



"Macam-macam dah berlaku dalam hidup saya sepanjang dua tahun ni. Bagai terkena sumpahan, seorang demi seorang manusia yang saya sayang ditarik pergi dari  hidup saya. Saya hidup sebatang kara sekarang ni, Dato'." Ada nada pilu dapat kukesan dalam nada suara pekerja Iskandar itu. Serta-merta terdengar suara Iskandar beristighfar.


"Astaghfirullahalazim..kau tahu kan ajal dan maut itu di tangan Tuhan?" Soalannya membuatkan aku juga turut sama mengakui kebenaran ayat itu di dalam hati. Kasihan..muda-muda lagi dah kehilangan semua ahli keluarga..simpati pula aku jadinya dengan nasibnya.



"Walaupun gaji saya dikira okay tetapi, sentiasa tak cukup. Ada sahaja yang rosak, ada sahaja yang jadi..saya rasa hidup saya tak berkat." Luahnya dengan sangat sedih.


"Hidup saya memang tak berkat." Sekali lagi dia mengulangi ayat itu. Kali ini ada getaran dalam nada suaranya. Seperti mahu menangis pula. Kedengaran Iskandar menghelakan nafasnya. 



"Aku tak terima surat letak jawatan kau ni. Aku akan suruh Naila from  HR Department untuk sediakan surat kenaikan gaji untuk kau nanti." 



Mendengar sahaja suara Iskandar bergema dengan serius, aku terus berpaling untuk ke ruang dapur semula. Gerun pula memikirkan sekiranya Iskandar tahu aku mencuri dengar perbualan mereka.  



"Bukan soal gaji..soalnya, saya ada pengakuan untuk dibuat."

Kaki yang setapak melangkah terhenti saat ini. Serta-merta aku memasang telinga.


"What's wrong with you, Affendi Jufri?? You're not yourself today.." 



Ada nada prihatin di dalam nada suara lelaki yang masih bergelar suamiku itu. 



"Saya terlibat dalam rancangan memfitnah isteri Dato'. Saya minta maaf Dato'. Saya betul-betul menyesal."


Allahuakhbar..apa yang aku dengar ni? Bagai hendak tercabut nyawa dari badan. Berderau darah sampai ke kepala.


"Whattttt?!!"

Tempikan Iskandar bergema dengan sangat kuat di ruang ini menyebabkan aku juga turut sama terkedu.

Akhirnya, hari yang aku tunggu-tunggu tiba jua. Di dalam sendu yang mencengkam jiwa, aku terjelepok di atas lantai.



***
Apa akan terjadi setelah sebuah kebenaran tersingkap? XD Nantikan sambungannya

Terima kasih sudi baca dan berikan komen untuk cerita ni. Seperti biasa semua komen boleh diberikan di FB GROUP : BILA SURI RYANA MENAIP :) terima kasih :)