**AKAN DATANG 2018!! : DRAMA TI AMO SWEETHEART 100 HARI! LAKONAN ZUL ARIFFIN DAN NEELOFA**
&
**KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU LAKONAN ALIF SATAR DAN NANA**

Saturday 16 April 2016

KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU [BAB 28 & BAB 29]

Bab 28





“Yuki!”

Terjerit kecil aku jadinya. 

Setelah seminggu aku berada di sini, baru hari ini salji turun dengan sangat lebat. Dua tiga hari yang lepas, ada juga bersalji tetapi turunnya bersama hujan dan tak lebat begini.

Yuki adalah perkataan di dalam bahasa jepun untuk salji. Anak mata melekat pada salji yang sedang turun di luar rumah.

“Patutlah nenek selalu cakap yang kami adalah pengantin musim salju. Sebab sangkanya kami berkahwin pada musim dingin yang bersalju.Tapi kami adalah pengantin olok-olok aje kut!”

Gumamku sendirian.

Sebelah tangan kulekapkan pada tingkap kaca dan pandangan kufokuskan pada cebisan-cebisan putih yang kelihatan seperti kapas yang sedang berterbangan dari langit. Sumpah cantik beb! Indahnya salju Sapporo, Hokkaido. Rugi kalau aku tak beronggeng kat luar tu. Bisikku dalam hati. 

Pantas aku berlari ke pintu utama bersama kamera di tangan. Beg khas untuk isi kamera kusilangkan ke badan. Sampai sahaja di genkan, aku menukarkan selipar di kaki kepada kasut adidas  dan aku mula berlari ke luar bersama kamera di tangan. 

Angin sejuk mula menampar lembut tubuh membuatkan aku mengerutkan wajah untuk seketika. Erghh boleh beku! Tangan kanan kutadahkan  untuk beberapa saat. Sengaja membiarkan cebisan-cebisan ais bertenggek di atas kulitku untuk seketika. Cantik tetapi kenapalah kau ni sejukkkkkk!! Bisa membekukan!

Pantas kaki berlari ke bawah pokok sakura. Aku memfokuskan lensa kamera pada kawasan  taman yang sudah mula memutih gara-gara dilitupi salju. 

Klik! Klik! Klik!

Tidak tahulah berapa gambar yang sudah kuambil. Yang pasti tangan tidak mampu untuk berhenti merakam momen indah ini.  Haruslah gambar-gambar ini terlalu sentimental untuk aku nanti. Setelah puas merakam, aku memasukkan kamera ke dalam bekasnya yang aku silangkan pada tubuh.

Dengan sekelip mata halaman rumah nenek sudah pun dipenuhi salji. Memang di Hokkaido ni salji  turun dengan sangat lebat dan tebal. Kalau di atas Mount Moiwa tu khabarnya parasnya lebih tinggi dari pinggang. Mata kuhalakan ke arah Mount Moiwa yang nampak samar-samar dari sini.

“Dress up. We need to go somewhere.”

Terkejut beruk aku jadinya apabila ada suara di telingaku. Hood pada sweater kutarik kasar dan kuselingkupkan di atas kepala.

“Astaghfirullahalazim!” 

Aku mengurut dada. Bila pula dia pulang dari pejabat? Kacaknya..tanpa sedar aku memuji.

“Boleh tak lain kali bagi salam ke apa?” Aku mula menempelak lelaki ini.

“Nasib saya tak terjatuh dalam kolam ni tadi!” Marahku lagi dengan geram.

 Namun Adam tetap selamba dengan wajah yang serius merenung ke arahku.

Cebisan-cebisan ais yang kini jatuh mencium  wajah kuseka dengan jari. Apabila terasa berat bahagian bulu mata dipenuhi salji, aku ingin mengesatnya namun Adam buat isyarat 
jangan.  

“Apahal pula? Berat dah mata ni dengan ais!” 

Rungutku geram namun Adam Putra tanpa aku duga terus mengeluarkan telefon bimbitnya dan merakam gambarku.

Terus aku memfokuskan pandangan pada skrin telefon bimbitnya. Gambarku dengan salji yang penuh di wajah, baju dan di kawasan hood yang menutup kepala dapat kulihat dengan jelas saat ini.

“Kenapa awak ambil gambar saya?” Soalku tidak puas hati. 

Namun lelaki ini hanya berlagak selamba sahaja. 

“Nanti aku whatsapp kau gambar ni.” Ujarnya seperti tidak buat salah. 

Suka hati dia aje! Geram pula aku jadinya. Bahagian kening dan rambut lelaki ini serta bajunya juga sudah penuh dengan salji. Kalau dia boleh sesuka hati ambil gambar aku, kenapa aku tak boleh ambil gambar dia pulak? Terus aku mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluar dan aku rakam gambar lelaki ini membuatkannya tergamam.

“Awak cakap suruh saya bersiap tadi. Nak pergi mana?” 

Soalku dengan selamba seperti tidak melakukan apa-apa kepadanya tadi. 

Lelaki yang segak dengan suit di badan ini terus menjungkitkan bahu sedikit dan berlalu pergi.

Isk..semalam terlebih romantik. Hari ini jadi poyo balik! Aku mulalah panas hati! 
Anak mata kuhalakan ke kawasan kolam.

Cantik..terlalu cantik apabila dilitupi salji. Tangan yang sudah beku dan bertukar merah kumasukkan dalam poket sweater dan aku berlari masuk ke dalam rumah.

Di dalam fikiran tertanya-tanya aku sendirian. Ke mana agaknya dia hendak bawa aku pergi?


***

Kot labuh berpotongan seperti gaun dari jenama Burberry kini membalut tubuhku. Kemudian, aku mencapai pula kasut boot hitam paras lutut dan kusarungkan di kaki. 

Betul ke kasut ni pun milik kakak lelaki itu? Aku mula rasa pelik. Hadoi..manalah perginya baju dan jeans aku?

“Let’s go.” Ucap lelaki yang segak dengan tuxedo di badan.

 Tanpa sedar aku terpaku melihat lelaki di hadapanku ini. Apa yang lebih membuatkan aku janggal, dia juga turut sama merenungku seakan terkena pukauan. Ah..ni mesti sebab rambutku yang terlepas bebas. Ini semua Kak Yumilah punya fasal. Tadi beriya dia tak kasi aku ikat rambut kerana katanya rambutku masih lembab. 

Tak elok ikat rambut jika belum betul-betul kering. Bersama rasa gugup dan jantung yang berdegup sedikit laju, aku menyelukkan tangan ke dalam poket kot untuk mengeluarkan getah rambut hitam milikku. Kelam-kabut aku mengikat rambutku saat ini. 


“Let’s go.” 

Ajakku kepada lelaki yang masih lagi asyik merenungku. 

Tanpa sebarang kata, dia akhirnya membuka pintu pada genkan ini dan melangkah keluar.

“Waaaaa tebalnya salji!” Terjerit kecil aku jadinya. 

Salji telah pun berhenti tetapi dalam masa sejam, tebalnya tinggi sikit dari paras buku lali! 


Dengan berhati-hati aku melangkah menuju ke arah kereta Audi milik Adam Putra. 

Masuk sahaja ke dalam kereta, Adam terus menghidupkan enjin kenderaan dan memfokuskan penglihatannya pada jalan raya sahaja tanpa berkata apa-apa.

Aku pula yang terpegun dengan kecantikan bandar Sapporo yang diselimuti salji hanya menghalakan pandangan ke luar kenderaan melalui tingkap di sebelah kiriku. Pandangan kini hinggap pada pokok yang juga dilapisi salji.

“Cantiknya..” Terlepas juga perkataan itu dari bibir. Terpesona aku jadinya.

“Hati-hati..hari-hari bersalji begini ada yuki-onna.” 

Suara lelaki yang berwajah serius ini membuatkan aku menoleh ke arah lelaki yang berkulit cerah ini. Memandu pun penuh gaya. 

“Yuki-onna?” Soalku sedikit pelik. Aku terus bersuara lagi.

“Apa tu?” Soalanku dijawab oleh kerlingan mamat sebelah ni.

“Wanita salju.” Jawabnya.

“Wanita salju?” Soalku lagi.

 Aku buat riak wajah pelik. Adam Putra yang sedang memfokuskan pandangannya pada jalan raya terus bersuara tanpa memandang ke arahku.


“Roh atau yokai wanita salju. Yuki-onna banyak  diceritakan dalam novel jepun, manga, dan dalam filem. Froslass dalam kartun pokemon pun khabarnya diinspirasikan dari yuki-onna.” 

Jawapannya membuatkan aku terdiam seketika.

 Roh? Isk, ada-ada aje dia ni. Aku mulalah mengetap bibir.


“Very famous here in Japan.” Ujarnya lagi setelah melihat aku diam.

“Are you trying to scare me?” Aku lesing jugak dia ni karang!

“Saja je rosakkan mood salju Hokkaido saya!” Ujarku dengan kasar. 

Rambut yang bertocang satu kubetulkan sedikit. Selamba sahaja wajah lelaki itu ketika ini. 

“Yuki-onna muncul pada waktu malam yang bersalji. Tubuh tinggi lampai, rambut panjang warna hitam dengan bibir pucat kebiruan. Kulitnya pula putih transkulen. ”



Tanpa diminta dia menceritakan tentang yuki-onna kepadaku dengan suara penuh misteri. Wajahku dikerlingnya sekilas.

“Pucat macam mayat.” 

Ucapnya sambil menjegilkan matanya sedikit. 

“Hantu jepunlah ni?” Soalku lagi. Dia hanya menganggukkan kepala.

 Pandangan kuhalakan ke hadapan sahaja. Masih menikmati pemandangan yang serba-putih di luar sana.

“Kadangkala dia muncul dengan kimono putih di badan.” Cerita Adam Putra lagi.

“Kata orang, yuki-onna ni adalah orang yang terbunuh ketika salji turun.” 

Aku mulalah menelan air liur. Sadis betul!

“Kata orang juga yuki-onna suka sesatkan orang sehingga  terjebak dalam ribut salji. Ada juga orang percaya yang yuki-onna mengakibatkan ribut salji dan membekukan orang sampai mati.”

 Aku mulalah membayangkan di dalam fikiran waktu malam hari apabila Yuki-onna datang mengetuk tingkap di dalam bilik itu dengan rambut yang menggerbang dan wajah pucat yang menakutkan. Erghh!

“Kadang-kadang dia hadir di malam hari bersama bayi di dalam pangkuannya.” 

Suara Adam yang penuh misteri membuatkan aku terus meletakkan jari telunjukku di bibir.

“Shhhhh!” Aku mendengus kasar.


“Dah dah! Saya tak nak dengar dah.”

 Bentakku sedikit geram namun ton suaraku tidaklah kuat mana.

 Geram betul aku dengan lelaki ini. Ada ketawa sinis yang keluar dari bibirnya. 

“Eh bukan awak kuat ke? Macho lagi..nak takut apa dengan yuki-onna?”

 Soalnya sambil merenung ke arahku. 

Lampu trafik yang bertukar  merah membuatkan lelaki ini mampu memandang ke arahku dengan lebih lama. 

“You better shut up, Adam!”

 Tahap kesabaran betul-betul dah sampai ke tahap maksima. 

Sikit lagi aku boleh arahkannya suruh berhentikan kenderaan. Lelaki ini terus ketawa besar melihat reaksiku.

 Apabila dia ketawa begitu giliran aku pula merenung ke arahnya dengan rasa yang bercampur-campur. 

Apabila dia merenung ke mari bersama renungan yang sedikit mengasyikkan, kelam-kabut aku melarikan anak mata ke  bahagian kiri kenderaan.

 Pemandangan yang indah di luar sana tidak lagi membuatkan aku tenteram. 
Mana tidaknya, aku asyik terbayang yuki-onna yang menyeramkan tu melayang-layang tanpa kaki di atas salji.

“Ish, rosak imaginasi indah tentang malam bersalju.” Gumamku dengan sangat geram.

Ada ketawa kecil yang bergema di dalam kenderaan ini membuatkan aku hanya mampu mengetapkan bibir sahaja. Langsung aku tidak memandang ke arahnya.

“Kau imagine apa? Romantic night with someone semasa salji turun?” 

Soalannya yang ini benar-benar boleh buat aku sakit jantung! 

Terus aku menoleh ke arahnya dengan mata yang bulat. 

“Ma..mana ada!”

 Tergagap-gagap jadinya gara-gara terlalu geram dengan soalan lelaki ini. Gugup pun ye jugak. 

Bertambah rimas apabila ada debaran sejak dari tadi berkompang di dalam dada. Sisa senyuman di bibir lelaki itu membuatkan aku sukar hendak mengalihkan pandangan.
Kay! Ingat, korang hanya pengantin musim salju olok-olok aje! Tak payahlah jauh sangat mata tu berlari!

Seperti ada suara yang menempelakku, membuatkan aku terus mengubah posisi supaya menghadap ke bahagian  sebelah kiri kenderaan sahaja ketika ini. Jangan pandang dia lagi!




***
Aku yang duduk berhadapan dengan Adam tercengang habis saat ini. Di bawah cahaya lampu kuning yang menyinar ini pastinya terpampang jelas riak resah di wajahku. Wajah kuraupkan untuk seketika sebelum memberikan jelingan tidak puas hati kepada Adam yang kelihatan sangat tenang.

“Ala..kenapa tak beritahu kakak awak dah sampai?” Soalku yang sudah mula resah. 

Sudahlah aku pakai baju Kak Putri sekarang ni. 

Ah, malunya! Pemilik KLIK! tak ada baju sendiri untuk dipakai. Aduhhh! Jatuh standard wa!

“Kenapa?”

Soalnya bersama riak wajah yang pelik. 

Pelik melihat aku yang tak senang duduk ni agaknya. Tanpa sedar aku mengubah posisi sedikit supaya dapat bersila panggung. Siap gerakkan lagi kaki namun pantas Adam Putra menjeling tajam ke arahku. Alamakk..dia ni! Perlahan-lahan aku mula duduk dengan lebih sopan. 

“Awak tanya kenapa? Eh hello, saya ni nak bekerja dengan dia. Mestilah saya kene tahu bila dia sampai Japan!” Ucapku dengan sangat geram.

 Sekurang-kurangnya kalau Adam beritahu, bolehlah aku study lebih sikit tentang kerja-kerja yang perlu aku lakukan nanti. Keyakinan client perlu untuk aku membuat kerja dengan lebih bersemangat. 

“Erghhh geramnya!”Bentakku kasar.

 Muzik tradisional jepun yang sedang berkumandang di dalam restoran ini tidak lagi memberikan ketenangan di hatiku.

“She’s here now.”

 Selamba Adam berkata begitu sambil menghadiahkan senyuman yang sangat kacak kepada seseorang. Kenapa aku pulak yang terpesona? Pantas aku memejamkan mata serapat-rapatnya untuk seketika sebelum menoleh ke belakang.



Kelihatan seorang gadis  cantik yang sangat anggun dengan kot putih dari fabrik cashmere yang sangat berkualiti sedang berjalan ke mari. Kot yang panjangnya sampai ke buku lali itu melayang-layang sedikit apabila Kak Putri berjalan dengan penuh gaya. Penuh yakin.  

Shawl satin berwarna krim yang terletak cantik di kepalanya kelihatan sangat sesuai dengan outfit yang dipakainya hari ini. Walaupun manis menutup aurat, dia kelihatan sangat bergaya.

“Assalamualaikum..” Ucapnya sebaik sahaja menghampiri meja.

 Aku dan Adam Putra sama-sama bangun. 

“Waalaikumussalam.” Jawab aku dan Adam serentak. 

Setelah bersalaman denganku, dia terus menghampiri Adam dan memeluk lelaki itu dengan sangat erat. Jelas kelihatan riak gembira di wajah lelaki itu apabila berjumpa dengan kakaknya ini. Mesti hubungan mereka sangat rapat.

“ How was your flight?” 

Soal Adam setelah mereka melabuhkan punggung ke atas kerusi empuk ini yang letaknya berhadapan denganku.

“Well..smooth and steady.” 

Jawab Kak Putri sambil tersenyum manis. 

Anak matanya kemudian berada tepat pada wajahku.

“Who is this?” 

Soalnya bersama riak nakal di wajah kepada Adam.

 Biar betul Kak Putri tak kenal aku? Lelaki itu terus merenung ke arahku. Ha..apabila sepasang mata kacak itu merenung, mulalah aku jadi tak tentu arah.

“Your girlfriend?” 

Belum sempat Adam menjawab dia bersuara lagi. 

Pantas aku bersuara untuk menutup kegugupan di hati.

“Kak Putri..saya Kay!” Ucapku sambil ketawa kecil. 

Adam terus menggelengkan kepala.

“Kaseh. Call her Kaseh.” 

Selamba dia berkata begitu. Isk sibuk betullah mamat ni.

“Kay? Kaseh?” 

Kak Putri buat muka blur. Anak matanya masih di wajahku.

“She’s your photographer, Kak Putri. My wife.” 

Adam terus memberitahu kakaknya. Pantas aku membetulkan kata-kata lelaki itu.

“Isteri olok-olok!”

Aku membetulkan lelaki itu sambil mengangkat sebelah kening. Kak Putri terus menepuk lembut kedua-dua belah pipinya. Gaya seperti baru perasan yang aku adalah Kay, pemilik KLIK! yang pernah dia jumpa sebelum ini.

“Owhhh Kay..I mean Kaseh! Ya Allah! Tak perasan langsung!”

 Ucapnya sambil menutup mulutnya dengan kedua-dua belah tangan. 

Aku pula tak tahu nak ketawa ke nak menangis. Teruk benar ke perubahanku? Nampak lain sangat ke? 

“You look different.” Luah Kak Putri.

 Anak matanya mulalah meneroka dari rambut sambil ke pakaian di tubuhku. Tak selesa aku jadinya.

“I mean you look so feminine and beautiful!” 

Ucapnya lagi bersama pujian pula.

“Your wife is really beautiful, Adam Putra! I mean wife olok-olok. Tapi hey..kalau nanti jadi isteri betul-betul pun apa salahnya?” 

Pujian Kak Putri kali ini benar-benar buatkan aku tidak selesa. Aku hanya mampu tersenyum sumbing sahaja untuk menutup resah dan gelisah di hati.

 Apa? Isteri betul-betul? Boleh mereng aku. Gelas berisi air kucapai dan aku teguk sedikit.

Kelakar pula bila melihat betapa bulatnya anak mata gadis cantik ini yang masih  melata di wajahku. Aku yang tidak tahu bagaimana nak berikan reaksi terus bersuara.

“Er..thanks to your outfit. Saya mana tahu nak beli kot yang feminin dan cantik macam ni.” 

Aku cuba berbahasa basi. Ya aku akui, kot dan pakaian Kak Putri semuanya cantik-cantik belaka cuma aku masih lagi sedang menyesuaikan diri dengan baju-baju yang feminin begini. 

Ikutkan aku, mahu sahaja aku pakai jeans, sweater dan jacket wind-proof seperti yang selalu dipakai Hud Mikael! Erghh mana baju-baju aku?!

Kenapa Kak Putri nampak tergamam untuk seketika. Anak matanya memandang ke mari dengan pandangan yang sangat blur.

“Wait... One of Burberry latest coats. Nope. I don’t own that piece yet.” 

Kata-kata Kak Putri dengan jarinya yang menunding ke arah kot membuatkan aku tersentak.

“What?”

 Soalku kepada diri sendiri.

 Rendah sahaja ton suara ketika ini. Mulalah rasa geram menyelinap dalam hati. Adam Putra! Hatiku menjerit histeria.

“That’s not mine..” Ucap Kak Putri lagi sambil menggelengkan kepalanya. 

“Adam! Awak cakap ni baju Kak Putri??”

 Tak dapat ditahan-tahan lagi, dengan wajah yang serius dan marah yang cuba dikawal aku menjeling ke arah Adam. Lelaki itu kulihat pantas meraupkan wajah sambil tersenyum sumbing. Nak kena dia ni!

“Putra! What have you done to her?”

 Kak Putri terus bersuara.

 Ketawa kecil jadinya wanita ini melihat reaksi aku dan Adam. Erghhh! Geram betul aku dengan lelaki itu. Memang sah la dia yang sorokkan baju aku!

“Kak Putri, I think we better order now.” 

Pantas Adam berkata untuk tutup cerita. Nasib baik ada Kak Putri di sini. Kalau tak, memang siaplah dia ni!

“Very naughty!” 

Kak Putri hanya mampu menggelengkan kepalanya sahaja.

Adam pula masih selamba. Walaupun aku sedang merenung dengan tajam ke arahnya dia masih lagi sangat tenang. Membara betul la hati ni.

“Hello.” 

Sambil mengangkat sedikit sebelah tangan dia bersuara ke arah pelayan yang sedang memandang ke mari. Pantas lelaki berbangsa jepun itu melangkah ke sini.

Aku hanya membiarkan sahaja dia memesan makanan untuk kami. Sebenarnya aku sendiri tak tahu sangat tentang makanan jepun. Asalkan sedap, aku ngap aje nanti. Setelah selesai memesan pelbagai jenis makanan, anak mata Adam merenung ke mari.

 Kali ini jenis renungannya kategori aku terpaksa larikan anak mata ke arah lain. Tengok, walaupun sedang marah dengan lelaki itu, aku memang kalah dengan renungannya yang semakin mengasyikkan itu. Apa ilmu dia guna?

“So Kaseh..are you ready for tomorrow?” 

Tersentak aku apabila mendengar soalan Kak Putri itu. Terus aku mengangkat wajah.

“Yes..of course! Esok masuk minggu kedua saya kat sini. Bosan jugak tak buat apa-apa.” 
Luahku. 

Padahal takde lah bosan pun.Sesekali dapat meluang berehat panjang begini, memang seronok juga. Tambah-tambah apabila Mel dan abah selalu update tentang perkembangan KLIK! 
Aku memang tak risau sangat. Ala, tinggal dua minggu je lagi untuk aku berada di sini.

“Mesti Kaseh rindu nak ke studio dan pejabat, kan?”

 Soal Kak Putri. Pantas aku menganggukkan 
kepala.

“Of course..tell me about it!” Jawabku sambil ketawa kecil. 

Kak Putri juga ketawa. Adam Putra seperti biasa, masih leka merenung ke mari. Aku cuba juga untuk berlagak selamba walaupun hati ni dah penuh dengan pelbagai rasa yang bercampur-campur. Memang aku akui, separuh darinya perasaan yang indah dan sukar hendak dimengertikan.

“So, how’s Sapporo treating you?”

 Soalan Kak Putri membuatkan aku meraupkan wajah untuk seketika. 

Ohooii! Pandanglah arah lain, Adam oi! Terasa keras lidahku untuk bersuara. Anak mata Adam semakin lama semakin melampau meneroka wajahku.

“Well..” 

Aku cuba untuk menjawab kata-kata Kak Putri namun pantas Adam memotong.

“She loves yuki-onna.” 

Nampaknya hobi lelaki ini memang menyakat aku! 

Baru sahaja aku nak membidas lelaki ini, Kak Putri terlebih dahulu memberikan amaran kepadanya bersama jelingan tajam. 

“Adam Putra! Don’t start!”

Err..Kak Putri pun takut dengan yuki-onna ke? Gadis cantik ini terus bersuara lagi.

“Tau tak, dia ni memang suka takutkan Kak Putri dengan kisah yuki-onna tu.” 

Adu Kak Putri. Aku hanya mampu menggelengkan kepala sahaja ke arah Adam. Nakal betul!

“Kaseh hati-hati, dia hafal semua cerita tentang Yuki-onna yang arwah atuk cerita kat dia dulu.Ada banyak versi.” Adam hanya ketawa nakal sahaja ketika ini.


“Semuanya menyeramkan.” Ujar gadis itu lagi. 

Tangannya menampar lembut lengan sasa Adam.
Nasihat Kak Putri memang aku pandang serius. Memang aku akui  yang aku tidak lagi selemah dulu. Aku sangat handal dalam seni mempertahan diri. Tapi, bila dengar cerita hantu, entah kenapa ada juga lah rasa seram sejuk tu!

“Yeah..dia ada cerita sikit tentang yuki-onna tu kat dalam kereta tadi.” Aku membuka mulut. Aku menarik nafas dalam-dalam.

“Tapi saya rasa yuki-onna tu tak wujud pun..” 

Ujarku cuba berlagak berani di depan lelaki itu. Adam sudah mula tersenyum lebar.

“Kann! I agree!” Ujar Kak Putri yang bersetuju dengan pendapat aku. 

Adam yang duduk berhadapan denganku tiba-tiba sahaja merapatkan wajahnya sedikit ke mari membuatkan aku terdiam. Anak matanya merenung tepat ke dalam mataku. 

“Tak wujud yea? Tak takut?” 

Soalnya ketika ini membuatkan aku terdiam.

 Berbahang rasa wajah. Anak mata kami yang tadinya bertentangan kularikan ke arah Kak Putri yang sedang tersenyum ke mari. Sesuatu sangat senyuman client aku ni!

“Kak Putri, esok kita shoot kat mana ye?”  Kelam-kabut aku bertanyakan soalan itu.

“Owh yes, we’ll shoot at Mount Moiwa tomorrow. Hopefully cantiklah view since tadi bersalji.” Ujar Kak Putri dengan penuh harap. 

Aku juga turut sama menganggukkan kepala.

“Yeahh hopefully.” Ujarku. 

Lega rasanya anak mata Adam Putra kini beralih kepada Kak Putri.

“You’re coming home with us?” Soal lelaki itu. Pantas gadis ini menganggukkan kepalanya.

“Yeah..just for tonight. Nak lawat nenek. Starting from tomorrow I will just stay at the hotel. Senang nak discuss and buat kerja.” 

Jawapannya membuatkan Adam Putra mengangguk sedikit. Tanda faham.

“Okay then!”

 Ujar lelaki ini yang sedang memfokuskan pandangan kepada makanan yang sedang tiba. 

Aku pula hanya mampu mendiamkan diri sahaja. 

Kenapa dengan dia ni? Kenapa dia belikan baju-baju yang feminin dan mahal-mahal begini untuk aku? 

Kenapa dia sering melindungi aku? Kenapa dia sering merenung ke mari dengan pandangan yang mengasyikkan? 

Kenapa? Kenapa? Kenapa? 

Anak mata kini kuhalakan pada makanan yang sudah pun memenuhi ruang meja bersama seribu pertanyaan di dalam fikiran.
*** 

Bab 29


Bukan aku tak mahu percayakan lelaki itu tetapi kalau nenek tak ambil, Kak Yumi pun tak ambil, habis siapa yang ambil? Ah, tak boleh jadi. Terus aku melompat turun dari atas katil. T-shirt lengan panjang  di badan kubetulkan dan aku mula melangkah ke arah pintu. Setelah keluar, laju aje aku menonong ke arah bilik Adam Putra. Telinga kulekapkan pada dinding pintu gelangsar.

 Aik..senyap je! Takkan dah tidur bro?!  Aku mulalah buat muka pelik namun terkejut beruk aku jadinya apabila tiba-tiba sahaja pintu terbuka luas. 

Bertambah tergamam apabila Adam Putra hanya berseluar panjang berwarna hitam sahaja ketika ini.

 Gugup terus aku jadinya. Jangan pengsan. Anggap aje Sam atau Joe kat depan kau ni Kay! Aku cuba menenangkan diri tapi kenapa tidak boleh? Dia yang tidak berbaju hanya merenung sahaja ke arahku saat ini.



“Mengintai?” 

Pantas aku menggelengkan kepala laju-laju. Bagai nak luruh jantungku. Anak mata kufokuskan ke arah matanya dan aku cuba berlagak selamba. 

“I have something to ask.” Ucapku.

 Namun tiba-tiba sahaja telefonnya berdering.

“Give me 2 minutes.” Ujarnya yang terus masuk ke dalam bilik. 

Anak mataku meneroka ke bahagian dalam biliknya yang kemas. 

Sama sahaja seperti bilikku cuma bilik ini mempunyai fusuma, iaitu dinding yang boleh dibuka untuk menjadikan ruang ini lebih besar. 

Corak lukisan pada fusuma sama sahaja seperti di washitsu, iaitu bilik di ruang bawah rumah.

Aku lihat dia mencapai fail di atas mejanya dan mula berkata sesuatu di dalam bahasa inggeris dengan serius. 

Wajah itu semakin menarik untuk dipandang.   Tubuhnya disandarkan pada meja manakala fokusnya masih pada fail di tangan. 

Tubuhnya tidaklah berketul-ketul tetapi kategori sasa dan cantik terbentuk. Mesti selalu pergi gym atau suka berenang membuatkan dadanya kelihatan bidang.

Apabila terpandang beberapa dumbbel di atas lantai aku mula faham bagaimana dia boleh mendapatkan tubuh kategori model itu. Dalam bilik pun bersenam. Mampu?



“Asyiknya..Kaseh tengok apa tu?”

Hampir koma aku jadinya apabila ada suara yang menyapa. Boleh luruh jantung macam ni! Lelaki itu juga kulihat sedang merenung ke mari membuatkan aku bertambah tergamam. 

Terus aku menoleh ke belakang.

 Kak Putri sedang bersandar pada dinding pintu bilik Hud sambil tersenyum meleret ke mari. Bilik itu memang milik Hud tetapi pada hujung minggu sahaja.

“Tak..sa..saya tunggu Adam. Ada perkara nak bincang sedikit.” 

 Kelam-kabut dan sedikit tergagap aku bersuara saat ini. 

“Owh..okay.” 

Jawapan Kak Putri bersama lirikan matanya itu serta senyuman di bibirnya memang lain macam! Sesuatu sangat! Aduh..kenapalah mata aku ni!

“See you tomorrow ya..” Ujar Kak Putri. 

Masih lagi tersenyum. Aku pantas menganggukkan kepala.

“O..okay!” Ucapku. Janganlah Kak Putri fikir yang bukan-bukan pula.

 Kak Putri aku lihat terus masuk ke dalam bilik dan pintu ditutupnya dengan cermat. Derapan tapak kaki membuatkan aku menoleh ke arah Adam. Nampaknya lelaki itu sudah pun selesai berbual di telefon kulihat berjalan ke mari. Jantung tolonglah jangan macam ni. Rimasnya dengan debaran yang sangat menyesakkan dada.

“So, apa kau nak?” 

Soalnya sambil merenung ke mari.

“Sebelum tu, can you just put on your sweater first?” Soalku sedikit tidak puas hati. Rasa tak selesa.

“Why? Bukan aurat pun. Lainlah kau tu..”

 Apabila berkata begitu, aku lihat renungan nakalnya sudah mula berlari meneroka ke serata wajahku. Debaran di dada sudah tidak dapat lagi kutanggung. Aku tahu dia sengaja nak menyakat aku! Anak matanya kini berada pada rambut yang ditocang satu. Apabila pandangannya redup  ke arah leherku aku terus bersuara.

 “Saya tunggu awak kat bawah. Please, pakai baju.” 

Adam Putra ketawa kecil. Kemudian dia mengerutkan dahinya sedikit memandang ke mari.

“You’re blushing..” Ucapnya lembut. Aku terus meraupkan wajah.

“Mana ada!” Nada suara sudah naik satu oktaf untuk menutup kegugupan dalam diri.

“Kau tergoda dengan aku?” Soalnya bersama sebelah kening yang terjungkit ke atas.

 What? Tergoda? Melampau! 

Ada senyuman yang sukar dimengertikan di bibir itu. Pantas aku membidas lelaki ini.

“Tak! Cuma saya rasa kurang sopan bercakap dengan seorang lelaki yang tak berbaju.”

 Laju ayat itu meluncur keluar.

“Masa belajar martial art dulu, semua orang berbaju?” Soal Adam sedikit sinis.

 Memanglah tak! Masalahnya jantung aku hanya alergik dengan kau je! Aku nak buat bagaimana lagi, bro! Belum pun aku sempat menjawab dia menyoal lagi. 

“Atau dengan aku sahaja kau jadi begini?” 

Kali ini nada suaranya lebih nakal dari tadi. Pantas aku bersuara di dalam debaran yang menggila kerana apa yang dikatakannya itu benar belaka.

“Jadi apa? Takde apa-apa yang jadi. Jangan mengarut!”

 Bidasku dengan geram dan aku terus berpaling.

“Saya tunggu kat bawah.” Ujarku yang menghalakan pandangan ke arah tangga.

“Kaseh..” Panggilnya dengan sangat lembut. 

Tidak, aku tidak menoleh ke belakang. Kaki yang hendak melangkah terhenti seketika.

“You can’t close your heart for something you don’t want to feel.”

 Ayat yang pernah diucapkan pada hari pertama aku di sini diulangnya lagi. Aku terdiam di sini. 

Benar, aku tak mampu nak kawal hati aku. 

Aku gagal.

“Whatever.” 

Sengaja aku berkata begitu untuk menidakkan kebenaran yang nyata. Langkah kaki kuatur laju ke arah anak tangga. Lincah aku berlari turun bersama renungan  nakal dan kata-katanya yang memenuhi ruang jiwa. 

***
Memang degil! 

Selamba betul dia turun dengan tidak berbaju. 

Relax Kay..he’s right. 

Bahagian atas badannya yang terdedah itu bukan aurat. Aku cuba mengingatkan diriku. Bersama cawan cuppucino di tangan dia masuk ke dalam ruangan belakang rumah ini yang bagi aku sangat cool kerana menggunakan kaca lutsinar sebagai dinding.

“So, apa yang penting sangat tu?” 

Soalnya yang kulihat sedang menghirup air di dalam cawan. 

“I want you to be honest with me.”

 Aku memulakan bicara.

 Anak mata kini mengerling ke arahnya yang sedang merenung ke arahku. Aku cuba untuk memfokuskan pandangan pada matanya sahaja.

“Kenapa awak belikan baju-baju mahal tu untuk saya?” Soalku dengan tegas. 

Pantas dia menjungkitkan kedua-dua belah bahunya.

“No specific reason.” Ucapnya selamba.

 Aku mulalah tak puas hati.

“What? No specific reason?” Soalku dengan sangat geram. 

Keluhan berat terlepas dari bibirku. 

“Please la Adam...”  Luahku dengan lemah. 

Aku betul-betul ingin tahu kenapa dia saggup belikan baju-baju mahal kat dalam almari tu untuk aku? 

“Kau nak dengar alasan jujur aku?” 

Soalnya sambil merenung ke mari. Pantas aku menganggukkan kepala.

“I don’t think you’re even ready for that.” Luahnya. 

Anak mata mula meneroka ke serata wajah saat ini.

“Eh tak payah nak kona-kona lah! Bagitahu je.” Bidasku geram.  

Aku lihat dia menyandarkan badannya pada dinding. Sedikit serius wajahnya ketika ini.

“Aku nak kau berubah. Aku tak nak kau menyerupai lelaki.” 

Ada kejujuran dalam nada suaranya itu membuatkan aku tergamam.

Tapi kenapa? 

Adakah kerana dia tak mahu aku berpakaian seperti lelaki di hadapan nenek? Atau pun dia memang ambil berat tentang aku? Haruskah aku marah sekarang? Erghh aku tak tahu bagaimana nak fikir lagi.

“Itu sahaja sebabnya.” Ucapnya lagi.

“Habis tu kenapa awak tak beritahu awal-awal yang semua tu baju baru? Kenapa awak cakap baju-baju tu adalah baju Kak Putri?” 

Soalku yang semakin tidak puas hati. 

“Sebab aku tak nak kau jadi begini. I don’t want you to feel uneasy.” Jawabnya bersama keluhan di bibir. 

Aku membalas renungan lelaki itu. Bibirku melepaskan keluhan berat sebelum bersuara.

“Saya tak nak awak bazirkan duit untuk saya.” 

Aku lihat wajah lelaki ini sudah mula tegang. Anak mata merenung ke arahku dengan lebih teliti.

“Kaseh..it’s my money. Kau kelihatan cantik pakai baju-baju tu.” Lembut kata-katanya membuatkan aku gugup. 

Dia ni betul-betul puji ke apa ni?

“Sangat sopan dan even kalau kau dah bertudung nanti pun, kau masih boleh pakai baju-baju tu.”

Memang kata-kata yang keluar dari bibirnya malam ini boleh buat rahang aku jatuh berderai kat atas lantai.

“Hah?” 

Selamba sahaja perkataan itu meluncur dengan wajah yang blur. 

Kenapa aku rasa dia seperti menginginkan aku untuk pakai tudung pulak? Tak..tak..kenapa dia nampak sangat yakin yang aku akan bertudung nanti? 

Kay, bukankah bertudung dan menutup aurat itu dituntut dalam islam? Benar, lelaki ini buat aku berfikir tentang banyak perkara. Ada keluhan terlepas dari bibir buat kesekian kalinya. Serabut dan kusut rasa otak saat ini.

“I need to sleep.” 

Ujar lelaki itu kemudiannya. 

Baru sahaja dia ingin melangkah masuk, aku bersuara lagi.

“Pulangkan jeans-jeans saya.” Ujarku.

“Kau boleh cari dalam bilik aku kalau kau nak. Tapi aku memang tak sorokkan baju or jeans kau.” 

Sebaik sahaja dia berkata begitu, lelaki itu 
terus masuk ke dalam. 

Jauh di sudut hati aku percaya bukan dia  yang sorokkan baju dan jeans aku tu. Habis, siapa dalangnya? Terngiang-ngiang kembali kata-kata lelaki itu tadi.

“Kaseh..it’s my money. Kau kelihatan cantik pakai baju-baju tu. Sangat sopan dan even kalau kau dah bertudung nanti pun, kau masih boleh pakai baju-baju tu.”

Aku bersandar pada dinding kaca . Apa sebenarnya yang ada dalam hati dan fikiran lelaki itu? 

Kalaulah aku boleh menyelam masuk ke dalam hatinya, mesti senang untuk aku tafsirkan setiap kata-kata dan renungannya kepadaku selama ini.

***

bersambung :D

terima kasih semua sebab sudi baca :D segala komen boleh diberikan di facebook group : bila suri ryana menaip

thank you so much!!