DAPATKAN NOVEL M.A.I.D. , ISTERI SEPARUH MASA, PLAYBOY ITU SUAMI AKU?! KIMCHI UNTUK AWAK! , KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU : WHATSAPP UNTUK ORDER - 017 714 5595

**AKAN DATANG : Filem KIMCHI UNTUK AWAK - APRIL 2017 & Drama KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU - 2017**

Sunday, 17 August 2014

Kimchi Untuk Dia [Bab 13 dan Bab 14]


Bab 13

Ya Allah, sedapnya rezeki yang Engkau kurniakan kepadaku hari ini. Kembungnya perut menandakan aku sudah terlebih makan tika ini. Mata kini berlari ke arah pinggan yang telah licin. Perghh masakan umi memang sedap. Benarlah kata orang, tidak ada siapa pun yang dapat menandingi air tangan ibu. Pergilah ke restoran yang paling mahal sekalipun tetapi masakan seseorang yang melahirkan dan membesarkan kita juga yang paling dekat di hati. Bukan senang kut nak rasa semua ni. Maklumlah, aku kan menetap jauh di perantauan. 
Seekor lagi ketam kusendukkan ke dalam pinggan. Dengan penuh selera aku menjamah makanan yang tersedia di hadapan mata. 

Kalau bukan kerana lelaki itu, tidaklah perutku terpaksa menunggu selewat ini untuk diisi. Gara-gara rasa tidak selesa dengan bermacam-macam rasa yang terpalit di hati tadi, aku terus sahaja menguncikan diri di dalam bilik sebaik sahaja menyuruh lelaki itu ke dapur. Kau pun satu jugak Bella. Orang lain yang emo, kau pulak yang over! Sempat lagi aku memarahi diri saat ini. 

Bukan apa, aku memang tidak selesa hendak makan bersama Danial tadi. Tambahan pula setelah mendengar luahan rasa dia tu. Kepala kugelengkan sedikit. Pandangan kosong kuhalakan pada lauk-pauk yang terhidang di hadapan mata. Tapi kan, agak tak masuk akal seseorang seperti dia, yang nampak sangat keras hati dan egoistik boleh meluahkan perasaan begitu.  Kunyahan nasi di dalam mulut terhenti seketika kala ini. Wahh..hebatnya arwah Kak Ngah mampu menundukkan seorang lelaki seperti dia. Sebaris senyuman muncul di bibir dan serentak dengan itu juga lenganku ditampar oleh seseorang. 

Aku terus mendongakkan kepala bersama mulut yang masih penuh dengan makanan. Umi nampaknya sedang menjegil ke mari. Terus sahaja aku mencapai gelas berisi air oren di atas meja dan kuteguk sedikit. 

"Kamu ni memang peliklah Bella. Tadi masa orang tengah makan, kamu berkurung kat atas tu. Bila Kak Long panggilkan, kamu cakap kamu pening kepala. Tapi, belum sampai 5 minit dorang tu balik, kamu dah tercongok kat dapur ni. Bukan main selera pulak tu menjamah makanan. "

Aku tidak memberikan sebarang reaksi terhadap kata-kata umi itu. Alamak, umi dah mula membebel.  Mana tidaknya, pinggan nasi berisi seekor ketam yang sempat kusenduk tadi kutinggalkan begitu sahaja dan kemudian aku berkurung di dalam bilik. 

"Sakit kepala kamu dah hilang agaknya." Perli umi setelah dilihatnya aku diam tak berkutik.

"Memanglah tadi Bella pening kepala. Tapi sekarang dah okay." Sempat lagi aku mempamirkan sengihan kepada umi.

"Ada-ada aje kamu ni. Yang Kak Long kamu tu pulak umi lihat macam ada masalah aje. Dari tadi sepatah umi tanya, sepatah aje jawapannya. Kalau selalu tu, bukan main riuh lagi mulutnya tu bercerita itu dan ini." 

Umi sudah mula mengadu tentang Kak Long. Bukankah orang yang paling banyak cakap itu akan jadi sangat pendiam apabila jiwanya kacau? Semuanya kerana umi nak kahwin lagi.

"Eh ye ke? Bella tengok Kak Long tu okay je. Umi jangan risaulah." Jawabku. Tidak mahu umi risau. Sememangnya semenjak tadi Kak Long kulihat muncung aje. Mulutnya yang selalu riuh tu dah bisu agaknya.

"Umi kenal anak-anak umi. Dua-dua pelik semacam hari ini. Tak tahu apa masalah dengan  kamu berdua ni." Ada keluhan halus keluar dari bibir wanita yang bersanggul kemas ini. Terus sahaja aku memandang wajah umi yang sedikit sugul. 

"Mana ada masalah umi..cuma.." Mulalah aku mencari alasan.

"Ehemm..cuma Bella kurang selesa dan malu sedikit dengan Pakcik Dani dan Danial. Maklumlah, baru kenal kan." Akhirnya, ayat itu yang terpaksa kuucapkan. 

 Umi kulihat ketawa kecil. Wajahnya yang sedikit sugul kini ceria kembali.

"Oh..jadi sebab itulah kamu berkurung kat atas tu tadi?" Tanya umi bersama senyuman yang masih bersisa.

"Ye..ye umi."

Adus..memang betul..aku masih tidak selesa dan sedikit malu dengan mereka. Cuma alasan itu bukanlah penyebab utama aku berkurung di atas tadi. Tapi, takkanlah aku nak beritahu cerita sebenar pulak. Tentang luahan rasa Danial dan bagaimana aku juga turut sama terbabit. Huh..memang tak lah!

"Umi ingatkan sebab apalah tadi. Kalau macam tu, lega sikitlah hati umi. Bella, malu tu memang sifat orang perempuan. Malu itu sebahagian daripada iman tau. Umi mahu anak-anak umi jadikan sifat malu sebagai perisai daripada melakukan maksiat. Tapi, jangan pula nak malu tak bertempat..malu bertanya tentang ilmu jika kamu tidak tahu, malu nak tanya tentang ibadat yang kamu tak pasti..itu malu yang dicela." Panjang lebar umi berbicara dan dengan tekun juga aku mendengar. Ilmu ni..ilmu! Kepala kuanggukkan beberapa kali.

"Umi tak salahkan kamu sebab mereka tu pun bukan mahram kamu. Baru kenal pulak tu." Sambung umi lagi. Aku pula hanya mampu tersenyum tawar. Di dalam kepala mulalah merangka ayat saat ini. Aku bertekad ingin bertanya tentang hubungan Kak Ngah dan Danial.

"Umi..Bella nak tanya sikit, boleh?" Soalku teragak-agak. Namun belum sempat umi menjawab, Kak Long yang tadinya memencilkan diri kini muncul di ruangan ini. Kerusi di sebelahku ditariknya dan kini kami berdua duduk berhadapan dengan umi.

"Lina pun ada benda nak tanya.." 

Adus..Kak Long ni..potonggg betullah! Masa aku nak korek cerita jugaklah dia nak menyibuk sama.

"Pulak dah.." Bersama wajah yang pelik umi menuturkan ayat itu. 

Kak Long terus sahaja menoleh ke arahku.

"Bella, biar Kak Long yang cakap tentang perkara ni." Tegas sahaja arahan tersebut keluar dari mulutnya. Berkerut jadinya wajahku. 

"Ha?" Soalku sedikit pelik. Dia ni, konfiden habis soalan yang kami hendak tanyakan ini adalah soalan yang sama! Kak Long..Kak Long..ada yang aku cekik jugak budak ni.

"Umi..Lina cuma nak tahu, betul atau tidak umi nak kahwin lagi?"

 Bingo! Sudah kuagak Kak Long akan bertanyakan soalan itu. Gadis yang bertocang satu ini memasamkan wajahnya. Bulat mata umi menjegil ke mari. Oppss..ini bukanlah petanda yang baik.

"Kau dah gila ke Long?" Jerkah umi dengan tiba-tiba. Aku tahu umi terlepas cakap. Mungkin dia tidak menyangka yang Kak Long akan bertanya soalan seperti itu. Dadanya diuurut lembut saat ini.

"Astaghfirullahalazim...." Ujarnya sambil memejamkan mata. Kak Long pula terus bangun dan melangkah ke arah umi. Dia kemudiannya melabuhkan punggung di sebelah wanita itu.

"Umi memang tak ada rancangan untuk kahwin  lagi ye?" Soal Kak Long yang kulihat semakin kusut wajahnya.

"Kenapa dengan korang berdua ni?!  Dah kena sampuk dengan jembalang mana agaknya." Marah umi. Baik aku cabut. Terus sahaja aku bangun bersama pinggan di tangan. Laju-laju aku melangkah ke arah sinki. Dari gaya umi bercakap tu, nampaknya Pakcik Dani akan kecewa. 

"Mati-mati Lina dan Bella ingatkan umi akan terima Pakcik Dani.." Ujar Kak Long dengan sangat perlahan. Ada nada bersalah dapat kukesan pada nada suara Kak Long. Aku pula hanya mendiamkan diri sahaja sambil membasuh pinggan.

"Kamu jangan nak mengarutlah Lina. Kalau umi nak kahwin, dulu lagi umi dah kahwin. Tak payah tunggu tua bangka begini." Balas umi. Setelah selesai membasuh pinggan, aku mengelap tangan dan melangkah semula ke arah meja makan. Aku melabuhkan punggung di atas kerusi tadi semula.

"Ma..maaf umi..kami ingatkan umi sedang mempertimbangkan Pakcik Dani sebagai suami baru umi." Aku yang tadinya mendiamkan diri bersuara dengan teragak-agak. Umi menepuk meja dengan perlahan.

"Cukup! Jangan nak mengarut. Hanya arwah ayah aje satu-satunya suami umi dan kenyataan itu tak mungkin berubah sampai bila-bila." 

Amboi, bukan main gembira Kak Long saat ini. Terus sahaja umi dipeluknya dengan mesra.

"Alhamdulillah syukur Ya Allah..Lina tahu umi tak akan kahwin lagi. Lina sayang umi." Luahnya sambil memberikan kucupan di pipi kanan umi. Seronok betul dia. 

Tiba-tiba pula rasa nak menyakat gadis itu.

"Bella pula tak kisah kalau umi nak kahwin lagi. Pakcik Dani tu okay apa..boleh dikira handsome jugakla untuk kategori warga emas." Sengaja aku bersuara dengan sedikit serius. Niat di hati ingin menyakat Kak Long tetapi umi pula yang menjegil ke mari.

"Kamu jangan nak mengarut Bella. Nanti kamu yang umi kahwinkan. Baru tahu." Balas umi, mampu untuk meledakkan ketawa di bibirku. 

"Betul umi..kahwinkan aje dia. Sibuk benar nak suruh umi kahwin." Tokok Kak Long pula sambil menjeling ke arahku.

"Apa pulak Bella..Kak Long lah dulu.." Bersama sisa tawa aku meluahkan ayat itu.

"Bella..jodoh ni tak kira tua atau muda. Kalau takdir Allah Bella yang kahwin dulu sebelum Kak Long, maka Bella lah yang akan kahwin dulu. Kan umi?" Kak Long bersuara. Terus sahaja umi mengangukkan kepala.

"Betul tu Bella. Siapa kita nak lawan takdir Allah?" 

Entah kenapa aku sedikit terkesan dengan kata-kata Kak Long dan umi. Aku memang tidak akan melawan takdir Allah tetapi aku tetap berpendapat yang soal jodoh masih terlalu awal untuk aku fikirkan. Satu kes sudah terjawab. Sekarang otakku ligat mencari ayat untuk membuka cerita tentang arwah Kak Ngah.

"Kalau arwah Kak Ngah ada, mesti dia yang akan kahwin dulu..kan umi?"  Soalanku dijawab oleh keluhan halus oleh umi.

"Mungkin.." Akhirnya dia bersuara. Pandangan kosong dihalakan ke arahku.Aku tahu umi rindukan arwah Kak Ngah.

"Ermm..sejauh mana seriusnya hubungan arwah dengan Danial tu umi? Boleh pakai ke lelaki tu? Nampak macam.." Belum sempat aku menghabiskan ayat, umi terus memotong.

"Nampak macam?" Serius benar wajahnya membuatkan aku gerun.

"Garang. Serius semacam." Perlahan betul nada suaraku. Takut punya fasal.

"Bella..Bella.." Kepala umi geleng ke kiri dan ke kanan. 

"Jangan suka menilai orang melalui luaran, Bella. Kamu belum kenal dia. Danial tu bertanggung jawab orangnya.  Solat, hormatkan orang tua..sudahlah tu kuat bekerja pula. Cuma, jodoh dia tak ada dengan arwah Kak Ngah..tak sempat umi nak kenalkan Danial dengan kamu berdua masa tu." Ada kesedihan dapat kukesan dalam nada suara umi di akhir ayatnya. 

Kenapa aku tidak nampak langsung aura positif di dalam diri lelaki itu? Kuat bekerja. Itu aje yang betul. 

"Bagaimanalah Lina tak pernah tahu Danial tu adalah bakal tunang arwah Kak Ngah?" Soalan Kak Long menghentikan lamunanku. Bakal tunang? Uishh..nampaknya hubungan Danial dan arwah Kak Ngah memang serius.

"Sebulan sebelum bertunang, setahun sebelum berkahwin, Sumayya dijemput Ilahi..selepas itu Danial membawa hati dan tidak pernah kembali  ke Malaysia..sehinggalah baru-baru ini. Itu pun selepas dipujuk beberapa kali oleh Pakcik Dani."
Jawab umi.  Jauh dia merenung ke arah dinding di hadapannya.

"Bagaimana arwah Kak Ngah bertemu dengan Danial?" Soal aku pula.

"Mereka bertemu ketika di Swiss dulu. Arwah Kak Ngah kan belajar di sana." 

"Ooo.."  Terus sahaja aku mengangukkan kepala.

Sukar nak percaya lelaki seperti Danial, yang kaya raya dan nampak sombong itu memilih arwah Kak Ngah. Maksud aku..dia tak peduli langsung tentang latar belakang arwah Kak Ngah yang berasal dari keluarga yang biasa sangat ni. Susah betul nak kutelan fakta tu. 

"Danial itu lelaki yang baik. Sebaik sahaja berkenan dengan Sumayya, dia dan ayahnya terbang ke Malaysia dan  terus sahaja datang  ke teratak buruk kita di kampung tu untuk berjumpa umi, Pak Su dan Mak Su. Masa itulah kami bertemu semula dengan Pakcik Dani. Sahabat yang sudah lama terpisah. Memang pertemuan yang tidak disangka-sangka." Ujar umi. Memang istimewa hubungan mereka. Takdir Allah, arwah Kak Ngah dan Danial menemukan kembali sahabat-sahabat karib ini semula.

"Mesti umi terkejutkan apabila Pakcik Dani datang ke rumah?" Soalku.
 Kak Long kulihat hanya memasang telinga sahaja.

"Bukan umi, Pak Su dan Mak Su sahaja yang terkejut. Pakcik Dani juga turut sama tergamam. Tidak sangka arwah Kak Ngah dan Danial menemukan kami semula. Suasana gembira tu tak dapat umi lupakan. Hasrat Danial untuk memperisterikan arwah Kak Ngah diusulkan sendiri oleh Danial kepada kami. Arwah Kak Ngah pun tak tahu dia nak datang. Masa tu arwah Kak Ngah sedang cuti semester." Kata-kata umi membuatkan aku tergamam. Gentleman. Dalam diam aku memuji lelaki itu. Kalau aku jadi arwah Kak Ngah pun aku cair.

"Beraninya...." Akhirnya perkataan itu terpacul dari bibir.  

"Dia datang bukan untuk berkenalan sahaja dengan kami tetapi dia datang untuk melamar arwah Kak Ngah sekali. Pak Su kamu tu siap test dia lagi. Disuruhnya budak tu baca Al-fatihah dan doa qunut. Siap rukun solat dan beberapa asas agama lagi ditanya kepada budak tu. Walaupun Danial tu anak kawan baiknya, namun itu tak bermakna kita terima sahaja bulat-bulat. Tiada laluan mudah. Lagipun soalan-soalan yang ditanya tu semuanya soalan asas. Jika tidak tahu jawapannya, maka memanglah seseorang itu tidak praktikkan kehidupan sebagai seorang muslim sejati." Jernih wajah umi ketika bercerita. Aku tahu dia juga sedikit terkilan Danial tidak dapat jadi menantunya. 

"Habis tu dia tahu tak baca doa qunut tu umi?" Soalku. Entah kenapa rasa macam..Hish, kau ni Bella..cubalah husnuzon sikit. Mulalah aku memarahi diri.

"Alhamdulillah..lancar." Umi siap angkat ibu jari lagi. 

"Memilih bakal suami ni haruslah dibuat betul-betul, Bella..Lina." Tegas bunyinya suara umi ketika ini.

Diam-diam aku akui, susah sebenarnya hendak berjumpa dengan lelaki seperti itu. Ada tu sampai dah nak kahwin, masih juga nak main sembunyi-sembunyi. Bila diajak jumpa dengan ibu dan bapa, mulalah beri pelbagai alasan. Takut ditemu duga agaknya. Takut sekiranya disuruh baca doa qunut atau ayat kursi. Memang tak boleh pakai.

"Itulah buktinya yang dia tidak main-main dengan arwah Kak Ngah kamu. Berani datang berdepan. Berani untuk mengambil langkah menghalalkan hubungan." Puji umi lagi. Aku pula tak tahu nak menganggukkan kepala atau tidak. Memang aku bersetuju dengan kata-kata umi tetapi kerana yang dipuji itu Danial Lee..keras sikit kepala ni nak menganguk.

"Patutlah umi senang-senang bersetuju dengan pilihan arwah Sumayya. Danial tu memang gentleman. Patutlah Arwah pun ikut  cadangan umi untuk berkahwin walaupun dia masih belum tamat belajar ketika itu." Kak Long yang tadinya diam kini mula bersuara. 

"Sebab arwah juga mahu menghalalkan hubungan di antara mereka. Kalau dah suka, nak tunggu apa Long? Semua itu boleh menyumbang kepada maksiat." Balas umi. Wajah Kak Long direnungnya seketika.

"Bolehlah dia ikut cakap umi..sebab Danial tak macam Syafiq buaya tu! Syafiq..bila Lina ajak kahwin, selalu aje dia buat helah.. Asyik-asyik tak bersedia..." Aku tahu hati Kak Long dah mula menggelegak. Ada keluhan yang terbit dari mulut umi.

"Bekas tunang kamu tu memang tidak jujur orangnya Salina. Sebab tu umi tak pernah berkenan dengan dia. Pak Su sendiri pernah terserempak dengannya bersama perempuan lain..cuma kamu aje tak nak percaya. Tapi umi bersyukur, akhirnya mata kamu celik jugak. Kamu nampak juga belangnya tu." Panjang lebar bebelan umi terhadap Syafiq.

"Lina tak sangka dia buat Lina macam tu.." Rintih Kak Long. Ada air mata kulihat bergenangan di dalam kelopak matanya.

"Kalaulah Lina tahu..tak ingin Lina ada apa-apa hubungan dengannya..Lina ni memang bodoh kan umi?" Wajah umi dipandang bersama linangan air mata. Tahulah aku hati Kak Long masih sakit. Dengan pantas umi menyeka air mata Kak Long dengan jemarinya.

"Sudahlah tu Salina..nasib baik kamu sedar tentang sikap buruknya tu sebelum berkahwin. Kalau dah kahwin baru kamu tahu tentang perangai buayanya tu, lagi haru. Sekarang ni lupakan tentang semua tu. Tak semua lelaki tu jahat.." Lembut kata-kata umi menampar gegendang telinga kami. Aku hanya diam sahaja sambil memasang telinga. Dalam diam aku sangat kasihankan Kak Long. Kepercayaan yang dikhianiati. Itulah tajuk cerita ini.

"Tapi Lina selesa hidup macam ni." Balas Kak Long yang sudah mula tersenyum. Aku tahu umi risau mendengar kata-katanya. Umi mesti takut Kak Long ingin menyendiri sampai bila-bila. 

"Salina..masih ada lagi lelaki yang baik. Salina setuju tak kalau umi jodohkan Salina dengan.."  Belum sempat ayat tersebut umi luahkan, Kak Long terus bersuara.

"Lina tak nak, umi..Lina tak mahu!" Tegas bunyinya walaupun nada suaranya tidaklah kuat mana. Ada riak kecewa kukesan pada wajah umi. Dengan perlahan-lahan aku menarik nafas dalam-dalam.

"Sampai bila Kak Long nak single..sorang-sorang macam ni?" Soalku.

"Kak Long tak pernah sorang-sorang. Kak Long ada Allah. Kak Long ada umi dan Bella. Siapa cakap Kak Long sorang-sorang? Kak Long mahu kukuhkan dulu hubungan Kak Long dengan Allah. Hati Kak Long dah hancur Bella..berkecai. Kak Long dah tak ada hati untuk lelaki. " Dengan bersungguh-sungguh ayat tu diucapnya. Terdiam seketika aku jadinya.

"Tidak mengapa Salina..perlahan-lahan. Umi setuju kalau Lina mahu merapatkan lagi hubungan Lina dengan Allah..malah umi gembira sangat. Cuma, perlahan-lahan nanti, cubalah buka hati untuk orang lain. Bukan semua lelaki macam Syafiq." Ujar umi sambil menggenggam lembut tangan Kak Long. Kemudian, umi kulihat merenung ke arahku pula.

"Salsabila.."

"Ye umi.." Ujarku.

"Anak umi yang bongsu ni dah ada pilihan hati?" 

Seumur hidup, sumpah ini kali pertama umi bertanyakan soalan itu kepadaku. Rasa janggal dan tidak selesa aku jadinya.

"Umi..! Mana ada. Umur Bella baru 22 tahun. Young and dangerous. Ada setahun lagi untuk tamatkan pengajian. Lepas grad Bella nak kerja. Lepas tu Bella nak kasi umi duit, pergi umrah, beli rumah, beli kereta..lepas tu Bella nak.." Belum sempat selesai berbicara tentang impian hidupku, umi sudah pun memotong.

"Bella..semua yang Bella senaraikan tu memang penting. Tapi, berkahwin juga dituntut oleh syarak. Bukankah dengan berkahwin Bella dapat pelihara iman dengan lebih baik lagi?" Soalan umi membuatkan wajahku berkerut. Kenapa dengan umi ni? Ahhh..sebab Kak Long, aku pulak terkena tempiasnya.

"Erm..Bella tahu. Tengoklah kalau ada jodoh." Akhirnya, acuh tak acuh aku menjawab.

"Kalau memang ada jodoh?" Soalan umi membuatkan aku sakit perut. Betul..ini bukan main-main..adusss..mesti sebab banyak makan tadi ni. Senak betul perut ni..

"Auchh..umi..Bella sakit perut. Ni mesti sebab makan banyak tadi.." Terus sahaja aku menekan bahagian perut dengan kedua-dua belah tangan. Dengan pantas aku bangun berdiri. 

Umi hanya mampu menggelengkan kepala sahaja saat ini. Kak Long pula siap ketawa lucu lagi melihat keadaanku. 

"Sumpah  umi..Bella dah tak tahan ni. Nanti kita sambung sembang lagi ye." Sebaik sahaja aku berkata begitu, aku terus memecut ke tandas. Itulah Bella..semua benda kau telan tadi. 

Soal jodoh tu, aku biarkanlah dulu. Bukan masanya untuk aku fikir. Oh well, when you stop searching for a prince, and make Allah your King, He will complete your fairytale. In syaa Allah.

***

Bab 14

Nasib baik cuaca tak panas sangat hari ni. Kalau tidak, bertambah menggelegaklah hati aku yang semakin membara. Lincah tanganku membetulkan kedudukan skirt labuh di badan. Wajah yang masam kini bertukar riak apabila sebuah kereta Honda Accord berwarna hitam berhenti betul-betul di hadapan mataku. Sempat lagi aku mencuri pandang ke kawasan sekitar stesen bas ini. Nasib baik tidak sunyi. Maklumlah, banyak betul kes culik akhir-akhir ini. Culik untuk diambil organ! Memang ngeri. Aku menjeling tajam sahaja ke arah cermin di bahagian penumpang yang diturunkan oleh pemandu kereta tersebut. Lama juga dia merenung ke mari membuatkan aku tidak senang duduk. Terus sahaja aku bangun berdiri. 

"Salsabila."

Wajah kukerutkan sambil merenung ke arah kereta tersebut dengan lebih tajam. Ish...betulkah dia panggil nama aku? Entah-entah hanya ilusi. Lagipun aku tidak ada rakan atau saudara yang berkereta Honda Accord hitam. Ah, baik aku tunggu teksi dekat depan  kedai  tu. Ramai juga orang di situ. Dengan pantas aku mencapai dua buah plastik berisi bekas yang penuh dengan kimchi di atas bangku panjang ini. Kemudian,  laju sahaja kakiku melangkah ke arah kedai tayar yang terletak beberapa langkah di hadapan sana. 

"Salsabila..Bella!"

Langkah kaki kuhentikan seketika. Dapat kudengar namaku disebut dengan jelas oleh orang yang berada betul-betul di belakangku. Rasanya bukan ilusi dah ni. Terus sahaja aku menoleh. Nasib baik tak terlepas kedua-dua buah plastik berisi bekas yang penuh dengan kimchi di tangan kiri dan kanan saat ini. Ya Allah, kenapa aku tak perasan tadi?

"Encik Faris!" Nama itu terus terkeluar dari bibir apabila susuk tubuh Encik Faris Hardy benar-benar berada di hadapanku sekarang.

"Ya Allah..betullah naluri saya. Dari jauh tadi saya dah nampak Bella sebenarnya. Cuma saya kurang pasti. Yes, I was right!" 

Amboi, seronok benar nampaknya lelaki ini berbicara. Gembira betul dia kerana terserempak dengan aku di sini. Dialah yang gembira. Lain pula halnya dengan aku.

"Err..Encik Faris nak ke mana ni?" Soalku cuba berbahasa basi. Mata pula liar memandang ke arah jalan raya. Wahai teksi, cepatlah kau tiba!

"Saya baru balik dari rumah kawan. Tak ada aktiviti pun hari ni." Ujarnya sambil tersenyum senang. Erkk..kenapa ayatnya tu macam nak kasi hint je? Tak ada aktiviti? Habis tu? Apa kena-mengena dengan aku?

"Ooo.." Hanya itu sahaja yang mampu untuk kuucapkan. Hati masih lagi berdoa supaya teksi cepat tiba.

"Awak pula nak ke mana?" Soalnya. Anak mata Encik Faris kulihat berlari memandang ke arah kedua-dua buah beg plastik yang dijinjing oleh tanganku. Berat tau kimchi-kimchi ni! Sampat berbirat merah tapak tangan dah ni.

"Highview West Building." Jawabku pendek. Cepatlah datang teksi oiii! Dari riak wajah Encik Faris, aku sudah tahu ayat seterusnya yang akan diucapkan.

"Jomlah saya hantarkan."

Haaa dah kuagak! Adoi..! Dengan pantas aku menggelengkan kepala.

"Ehh..takpe lah..saya boleh tunggu teksi aje.." Terus sahaja aku menolak ajakannya. Teksi ni pun satu, bila tidak tunggu, bersepah-sepah datang. Bila tunggu, tak nampak bayang pulak

"Bukannya jauh pun..20 minit aje dari sini. Jom saya hantarkan." 

Encik Faris memang tak faham Bahasa Melayu agaknya. Terus sahaja kedua-dua buah beg plastik di tanganku dicapainya. Ikutkan hati, mahu sahaja aku berkeras dan menarik plastik tersebut. Namun aku terpaksa juga lepaskan apabila jari si lelaki tak faham bahasa ini sudah tersentuh sedikit jariku. Pfftft! 

"Erm..okaylah." Akhirnya aku mengalah. Dia pula tersenyum puas.

"Jom.." Ajak lelaki yang memakai t-shirt lengan panjang berwarna merah ini. 

Aku hanya mengikut sahaja jejak langkahnya. Dia kemudiannya meletakkan dengan cermat bekas-bekas berisi kimchi itu di bahagian belakang kereta. Aku pula, sempat lagi aku mengerling ke arah jam yang melekat di tangan sebelum masuk ke dalam perut kenderaan. Tepat pukul 11:30 pagi! Jamuan tu akan mula pukul 12:15 tengahari nanti. Alamak, sempat ke? Aku terlewat hidupkan telefon bimbit tadi. SMS dari Kak Long aku baca pukul 10 : 45 pagi tadi. Bagai lipas kudung  aku bersiap. Pandangan kuhalakan ke luar tingkap kenderaan yang sudah mula bergerak. 

Kak Long..Kak Long! Geram betul aku. Mana tidaknya, aku pulak yang harus bawa kimchi ni ke pejabatnya! Tak suka betullah. Gara-gara terlebih kalut pagi tadi, dia terlupa membawa kimchi ke pejabat untuk dihidangkan semasa jamuan tengahari nanti. Awal pagi tadi, umi, Pak Su dan Mak Su minta Kak Long hantarkan mereka ke stesen bas dengan tiba-tiba. Ada kematian jiran yang paling rapat dengan mereka di kampung. Pak Su dan Mak Su memang berjiran dengan umi di Kedah. Dua buah rumah dalam satu pagar. Begitulah rapatnya kami dengan keluarga Pak Su. Sepanjang di Pulau Pinang ini, Pak Su menetap di rumah Abang Idham, anak sulung Pak Su yang kini sedang menyelesaikan pengajian peringkat PhD di UK. Kunci rumah yang kosong itu diserahkan kepada Pak Su dan di situlah mereka menginap apabila datang ke Pulau Pinang ini. 

"Bella sihat?"

 Soalan itu benar-benar mematikan lamunanku. Sebaris senyuman kuhadiahkan sebelum bersuara.

"Alhamdulillah.." Ujarku.

"Buat apa nak ke Highview West Building tu?" Lelaki yang sedang memfokuskan pandangan ke arah jalan raya itu bertanya.

"Hantar kimchi ni kat Kak Long. Hari ini pejabatnya ada buat jamuan sikit. Jadi, saya diupah untuk buat kimchi." Jawabku dengan jujur. Terus sahaja matanya berlari ke arahku untuk seketika. Bibirnya mengukir senyuman.

"Wow..impressive. Bila agaknya saya boleh rasa kimchi yang awak buat ye?" Aku hanya ketawa kecil sahaja mendengar soalannya itu.

"Kenapa tak reply email-email saya?" 

Mati terus senyuman di bibir mendengar soalan tersebut. 

"Alamak Encik Faris..saya memang tak sempat langsung buka email sepanjang cuti ni." Jawabku dengan jujur. Sememangnya email bellabellabella@gmail.com itu jarang dibuka olehku dan sebab itulah aku berikan email tersebut kepadanya. 

"Sibuknya awak..sampai  tak sempat nak check email." Ada nada jauh hati dapat kukesan di situ. 

"Aa..busy la jugak..maklumlah busy buat kimchi.." Tak tahu dah jawapan macam mana harus kuberikan. Kelat terus terasa mulut. Terus sahaja aku mengerling jam di tangan. Sabar Bella..5 minit lagi sampailah!

"Banyak ke dapat tempahan?" Tempahan? Adoiii..

"Ooo..adalah sikit-sikit.." Selamba sahaja aku menjawab. Gaya jawapan macam usahawan sangat! Telefon bimbit yang berdering menyebabkan perbualan kami terhenti untuk seketika. Kak Long rupanya!

"Assalamualaikum Kak Long.."  Aku memberi salam.

"Waalaikumussalam my beautiful Bella." 

Amboi, mentang-mentang mintak tolong aku. Terus ditambah perkataan beautiful di hadapan namaku.

"Bella dah sampai ke?" Kalut betul nada suaranya itu. 

"Belum lagi. Lagi 5 minit Bella sampai, in syaa Allah."  Ujarku.

"Bagus! Thank you my beautiful Bella! Kak Long baru habis meeting ni. Bella bawak naik atas  tau kimchi tu. Tingkat 19. Kak Long tunggu kat sini." 

Ini boleh menimbulkan marah! Tangan yang hendak menggaru kasar kepala tidak jadi untuk berbuat demikian. Ikutkan hati, mahu sahaja aku protes tapi aku masih sedar yang Encik Faris berada di sebelahku.

"No, Kak Long. Tolong datang ambil kat bawah.." Dengan tegas aku berkata begitu. Namun nada suara kukawal serendah mungkin.

"Ala Bella..Kak Long minta maaf tetapi Kak Long busy sangat kat atas ni. Bella datang je. Kak Long tunggu kat sini." 

Geramnya! Grrr! Tak guna nak bertekak dengan Kak Long. Aku tahu dia tetap akan meminta aku untuk menghantarnya ke atas juga. Apabila terpandangkan wajah Encik Faris yang sedang merenung ke arahku, terus sahaja aku bersuara.

"Okay..okay. Bella okay je hantar kat atas. Lagipun Kak Long nak lunch dengan Bella kan hari ni? Okay set!" 

Sengaja aku berkata begitu. Aku tidak mahu Encik Faris hantar aku balik pula nanti. Ataupun silap-silap haribulan hendak diajaknya pula aku makan. Aku kenal sangat dengan dia.

"Apa yang kau mengarut ni dik? Haruslah Kak Long lunch kat sini." Ujar Kak Long sedikit pelik. Aku pula terus ketawa kecil.

"Okay Kak Long. Kita jumpa kejap lagi. Bye. Assalamualaikum." Sebaik sahaja berkata begitu, aku terus mematikan talian. Kepala kutolehkan ke arah Encik Faris.

"Kak Long saya..nak ajak lunch sekali sekejap lagi." Ujarku bersama senyuman di bibir.

"Ohh..tak dapatlah kita lunch sama-sama hari ni.." Riak kecewa terpamir jelas di wajahnya. Fuhhh nasib baik aku cepat bertindak!

"Nampaknya macam tu la..maaf sangat. Kak Long dah ajak dulu.." Jawapanku hanya mengundang senyuman tawar sahaja di bibir lelaki itu.

"It's okay..next time perhaps?" Soalannya memaksa aku untuk tersenyum.

"Aa...yes yes..why not.." 

Why not konon! No way Encik Faris..no way. Itu jawapan yang betul. Lega hatiku apabila kereta membelok ke kanan dan memasuki ruangan bangunan Highview West.

"Okay dah sampai."  Ujarnya apabila kereta diparkirkan cantik betul-betul di hadapan bangunan. 

Kami sama-sama keluar dari kenderaan setelah enjin kereta dimatikan. Dia aku lihat terus sahaja membuka pintu kereta di belakang dan dua plastik berisi bekas-bekas yang penuh dengan kimchi dikeluarkannya. Terus sahaja aku melangkah mendekati Encik Faris. 

"Encik Faris..saya nak ucapkan terima kasih sangat-sangat sebab sudi hantar saya kat sini. Tentang email tu, nanti balik saya check. Kay?"  Ujarku. 

"No problem." Dia tersenyum manis.

Jauh di lubuk hati,  aku berterima kasih kepadanya kerana sudi menumpangkan aku ke sini. Maklumlah memang takde teksi langsung tadi.

Kedua-dua belah tangan kuhulurkan dan aku cuba mencapai plastik-plastik yang dijinjingnya namun dia tidak mengendahkan perbuatanku itu.

" Jom." Ujarnya yang sudah mula melangkah. Aku pula masih termanggu-manggu di sini.

"Eh..Encik Faris..kenapa ni?" Soalku sambil mengejar langkahnya.

"Kenapa apa?" Soalnya pula. Hatiku mulalah panas ni.

"Encik Faris nak ke mana ni?" Seperti orang bodoh aku bertanyakan soalan itu. Tudung yang ditiupkan angin kubetulkan dengan sebelah tangan.

"Jom saya temankan awak." Dengan selamba dia berkata begitu.

"Alahai..tak payah..tak payah. Seriously. Lagipun saya tak nak Kak Long salah sangka." Beriya-iya aku berkata begitu. Dia pula dengan pantas menggelengkan kepala. 

"Nope Bella. This time saya tak akan berkompromi. Lagipun berat sangatlah bekas berisi kimchi ni Macam mana awak boleh bawak kedua-duanya seorang diri?" Soalnya dengan sangat prihatin. Aku pula terus menggelengkan kepala.

"Ringannnn aje tu. Betul. Berilah bekas-bekas tu kepada saya.." Rengekku namun tidak juga diendahkannya. Kami sama-sama memasuki ruang lobi saat ini. 

"Encik Faris baliklah dulu. Nanti saya reply email encik.." Serius nada suaraku ketika ini namun tidak juga mampu untuk menghentikan langkahnya. Kami sekarang berada di hadapan lif.

"Tingkat berapa?"

"19." Dengan wajah yang masam mencuka aku menjawab. Ya Allah geramnya aku! 

Dengan perasan yang sebal aku mengekori langkahnya masuk ke dalam lif yang kosong. Tiba-tiba terasa gatal pula bahagian atas kepala. Seperti ada jarum halus yang menggaru kulit kepala. Semakin lama semakin kuat cengkaman tersebut menyebabkan kepalaku semakin gatal. Suara ketawa Encik Faris menyebabkan aku terus menoleh ke arahnya.

"Bella. Awak berdiri diam-diam tau." Ujarnya yang masih lagi ketawa kecil. Kemudian, dia terus meletakkan kedua-dua plastik berisi bekas kimchi di atas lantai lif. Serentak dengan itu juga dia merapatkan diri sedikit padaku.

"Ada belalang kunyit atas kepala awak!"
Mendengar sahaja kata-katanya, kedua-dua belah tanganku terus menggenggam hujung baju t-shirt Encik Faris  dan meronta-meronta.

"Arghhhhh! Tolong buangkan..tolong buangkan belalang tu. Saya takut belalang!!"

 Mata kupejamkan dengan rapat sambil menjerit ayat tersebut. Memang aku geli dengan serangga! Tambah-tambah yang boleh terbang. Lipas terbang, belalang kunyit, pepatung! Semua itu boleh bikin hilang keayuan yang ada pada diriku. Seperti sekarang ini.

"Dah..saya dah tangkap belalang tu..Don't worry.." Ujarnya. Terus sahaja aku membuka mata. Encik Faris menggawangkan sebelah tangannya yang dikepal rapat. Lega rasa hati. Geli geleman aku jadinya! Pasti si belalang ada di dalam itu. Baru sahaja ingin melepaskan hujung baju Encik Faris, pintu lif terbuka dan bulat mataku bertikaman dengan pemilik mata lelaki yang baru sahaja melangkah masuk itu. Terus sahaja aku melepaskan hujung baju Encik Faris. Matanya masih lagi merenung tajam wajahku.  

"Excuse me. Kalau nak buat maksiat, di sini bukan tempatnya." Sinis sekali ayat tersebut menghiris telingaku. Terdiam aku seketika. Gilalah dia ni! Aku terus sahaja menjinjing semula kedua-dua buah beg plastik berisi kimchi dan kemudian aku bersuara.

"What? Eh hello Encik Danial Lee..makan boleh sebarang makan. Cakap tu hati-hati sikit ye. We didn't do anything." Balasku dengan geram. Dia dengan wajah yang kerek buat bodoh aje terhadap apa yang aku katakan itu.

"Awak kenal dia?" Bisik Encik Faris. Tegang kulihat wajah lelaki ini. Apa hal pulak dia ni? Ada nada tak puas hati  dalam nada suaranya tadi. Belum sempat aku menjawab, Encik Faris terus menoleh ke arah Danial Lee yang berada di hadapan kami.

"Bro..it wasn't like what you are thinking. Girlfriend saya ni takut belalang. Tadi ada belalang bertenggek atas kepala dia." 

Girlfriend???! Aku melangkah berdiri di sebelah Danial. 

"Listen here..saya bukan girlfriend dia..we are just friends! Kawan..kenalan! Bukan girlfriend." Terus sahaja aku bersuara. Encik Faris ni memang menguji kesabaran betul! Ada senyuman sinis dipamerkan lelaki kacukan korea dan melayu ini.

"Do I look like I care?" Bisiknya dengan kasar dan serentak dengan itu juga pintu lif terbuka. Dia kulihat menonong aje keluar tanpa mempedulikan aku dan Encik Faris. 

"Encik Faris ni..kenapa cakap dengan dia saya ni girlfriend encik??" Soalku apabila kami sama-sama melangkah keluar dari lif. Aku tidak mahu berita itu sampai ke telinga Pakcik Dani. Kalau Pakcik Dani beritahu Pak Su yang aku sudah ada teman lelaki, bagaimana? Masalahnya fakta itu salah!! Kalau betul, lainlah ceritanya.

"Saja." Selamba sahaja bersuara menyebabkan aku menjadi semakin geram. Sebelah tangannya masih menggenggam belalang kunyit tersebut. Janganlah belalang tu koma atau pengsan.

"Isk..saya tak sukalah! Thank you anyway sebab hantarkan saya.." Bersama wajah yang masam aku berkata begitu. Menyedari yang langkahku diekorinya, aku terus berpaling.

"Jangan ikut saya! Saya tak mahu Kak Long salah sangka!" Ujarku dengan sangat tegas. Ton suara juga naik satu oktaf dari selalu. 

"Okayy fine!" Ujar Encik Faris yang kulihat melangkah beberapa tapak ke belakang.

Aku pula tanpa menunggu dengan lebih lama, terus sahaja menuju ke arah Kak Long sebaik sahaja terlihat kelibat gadis itu betul-betul di hadapan pintu ballroom. Dia yang juga terpandang ke mari, terus sahaja menggamit tangan ke arahku. 

Rasa tidak selesa pula apabila melihat semua yang berada di sini berpakaian seperti ahli korporat. Yang lelakinya segak bersama kot di badan manakala yang wanitanya pula, kelihatan sangat anggun. 

"Bella! Ya Allah..ingatkan Bella tak datang tadi." Di bawah lampu warna kuning yang menyirami kami, dapat kulihat riak lega pada wajah Kak Long. Dia kemudiannya berbisik halus di telingaku.

"Jom kita ke pantry." Ujar Kak Long.

"O..okay!"

Aku terus sahaja mengangukkan kepala. Kami kemudian melangkah masuk ke dalam ballroom yang sudah pun dihias cantik dan  diatur dengan kerusi dan meja ini. Mata yang meliar di sekitar kawasan ini tiba-tiba mendarat pada tubuh tegap milik Danial di bahagian tengah ballroom. Asyik betul dia berbual bersama seorang gadis sambil tersenyum mesra. Kalau dengan aku, jangan haraplah! Aku terus melajukan langkah menuju ke pantry.

Pantry bersaiz kecil yang letaknya di bahagian hujung ballrom ini agak bersih dan kemas.  Kak Long terus sahaja mencapai 6 biji pinggan kosong dan aku pula mencedok kimchi ke dalam pinggan-pinggan ini dengan cermat. Sebuah bekas kecil berisi biji bijan kubuka dan aku mula menaburkan kimchi-kimchi ini dengan biji bijan.  

"Dah siap kan?" Soal Kak Long. Kepala kuanggukkan dengan pantas. Kemudian, Kak Long terus sahaja memanggil Mei Lian dan beberapa orang kawannya ke mari. Pinggan berisi kimchi kemudiannya dicapai oleh mereka dan dibawa keluar dari sini.

"Bella." Aku merenung ke arah Kak Long yang berada betul-betul di hadapan pintu pantry.

"Hmm?" Soalku sambil mengulum senyuman. Bukan apa, rasa seronok pula apabila kimchi yang dimasak olehku akan dihidangkan kepada mereka sebentar lagi. 

"Jangan balik dulu tau. Kejap lagi kita lunch sama-sama kat luar." Ujar Kak Long sambil mengenyitkan matanya. 

"Kak Long tak join majlis ni?" Soalku sedikit hairan.

"Tak kut. Seganlah. Lagipun yang join ni semuanya orang-orang atasan dan pegawai-pegawai senior. Bagi Kak Long 15 minit" Jawab Kak Long.. Terus sahaja aku megangukkan kepala.

"Okay..Bella tunggu kat sini." Ujarku yang terus melabuhkan punggung di atas kerusi. Nasib baik ada games dalam telefon bimbitku. Dapat juga hilangkan boring sementara menunggu Kak Long.

 Setelah 5 minit berlalu, dapat kudengar dengan jelas suara penuh yakin milik Danial bergema di dalam ballroom.

"Hi everyone. As a CEO, I'm truly thankful to each and every one of you. I can tell every person here is commited to help keep this company going strong and it's really inspiring to see." 

Itulah ucapan awalnya yang mampu untuk membuatkan aku memasang telinga untuk mendengar sehinggalah ke ayat terakhir. Aku pasti sebaik sahaja Danial habis berucap tadi, mereka sudah mula menjamu selera. Jam di tangan kukerling. Sudah 15 minit berlalu. Apabila pintu dibuka, aku amat pasti Kak Long yang masuk ke sini. Terus sahaja aku bangun berdiri. Namun, ternyata aku silap! 

Danial Lee yang sedang berdiri di hadapanku. Tergamam aku seketika apabila matanya kelihatan berair.  Terus sahaja aku mengekori langkahnya ke sinki. Dia kulihat membasuh muka beberapa kali. Dapat kulihat dengan jelas bahagian wajahnya menjadi sangat merah dan ditumbuhi ruam-ruam halus. Semuanya berlaku dengan begitu pantas. Kawasan keliling bibirnya juga sudah mula bengkak sedikit. Terkejut besar aku jadinya.

"Awak! Saya rasa awak alergi something ni." Dengan cemas aku berkata begitu. Dia pula terus sahaja membentak.

"Mind your own business."

Aku masih lagi mengekori gerak langkahnya. Ke kiri dia bergerak, ke kiri juga aku mengekor. Ke kanan dia melangkah, ke kanan juga aku mengejar. Bukan apa, keadaan wajahnya tu sudah semakin teruk. 

"Listen here. Awak mesti ke klinik sekarang. Awak tahu tak, muka awak dah bengkak-bengkak? Sebelum melarat baik awak ke klinik!"  Dengan tegas aku berkata begitu. Tiba-tiba sahaja aku  ternampak bentuk seperti kunci di dalam poket seluarnya. 

Ada debaran di dada saat ini namun,aku  tidak tahu kenapa aku seberani ini. Terus sahaja aku menyelukkan tangan ke dalam poket seluarnya. Memang benar, kunci keretanya kini sudahpun berada di tanganku. Terus sahaja aku bergerak ke arah pintu pantry.

"Heyy! Ke mana kau nak bawa kunci kereta aku tu?" Jerkahnya sedikit kuat namun aku pasti mereka yang berada di luar tidak dapat mendengar kerana muzik dipasang agak kuat juga.

"Jom ikut saya!" Dengan selamba aku berkata begitu. 

"Bella! Jangan cabar kesabaran aku. Give me back my key!!"  Tempiknya lagi, membuatkan aku gerun. Terus sahaja aku membuka pintu. Mampu juga aku tersenyum kerana buat pertama kalinya, dia menyebut namaku. 

"Come and get it yourself!" Ujarku sebelum melangkah keluar.

***

Thank you so much pada yang sudi baca dan berikan komen :) pada silent readers pun, terima kasih juge :) in syaa Allah bab 15 will see you lovelies tomorrow night :)

69 comments:

  1. Tq kak suri (:
    X sbar tnggu next.hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. tq so much sudi baca dan berikan komen ye..nanti kak suri post bab 15 :)

      Delete
  2. Suri dijangka bila novel ni akan di terbitkan...x sabar baca....😧😧😧😧

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kemungkinan besar tahun ini atau tahun depan, In syaa Allah :)

      Delete
  3. Oh myyyy ! Beraninya bella lwn en dong wook saya... Hahahha

    -Athirah-

    ReplyDelete
    Replies
    1. In syaa Allah nanti akak post bab 15 ye..heee xD TQ sudi baca dan berikan komen.

      Delete
  4. Best...beraninye bella..mesti danial alegic dgn bijan..hi..hi..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Byt..thanks sudi baca hehee..adakah bijan? Ataupun ada bahan lain? Nantikan jawapannya di bab 15 :) tq tauu sudi baca dan komen

      Delete
  5. Alahai elergi Kimchi ke? Tapi suka sbb Danial dah sebut nama Bella

    ReplyDelete
    Replies
    1. hee tq sudi baca dan komen..Danial memang tak boleh hidup tanpa kimchi. Mungkinkah dia alergik benda lain? xD hehehee

      Delete
  6. oh no! Alergik pula Danial..hehe..so cute tiap kali diorang gado..thumbs up for the lovely entries, Suri..tiap kali saya online, suri pun pos..hehe..tunggu sambungan seterusnya...Fighting dear! p(^_^q)

    ReplyDelete
    Replies
    1. tq so much sudi baca dan berikan komen :) in syaa Allah nanti suri post bab 15 ye..tq so much! :)

      Delete
  7. Come and get it yourself!!hahaha...padan muka danial lee.allergic kt kimchi yg bella buat kot?mybe ingridients dia..
    Menarik....tq sis suri...next n3 k...

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahaxD tq sudi baca dan komen yee :) bahan apa agaknye dlm kimchi tu yg dia alah? hehee nanti suri post bab 15

      Delete
  8. Woww.bezz...first time bce cite nie terus jatuh ati..nk kena review balik dr bab 1.. ^^

    ReplyDelete
  9. Thanks suri...i am speechless...

    ReplyDelete
  10. Ini mesti alergik gan bijan.. Ish3 cian kat danial.. Bella apa u dah buat nice?? But... Lya suka.. Heheh, tq Kak suri ;)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehe..tq sudi baca yee..nanti suri post bab 15..in syaa Allah ada jawapannya di situ..tq lya sebab sudi bacaaa :)

      Delete
  11. alergik sbb min kimchi bella ke?

    ReplyDelete
  12. alergik sbb mkn kimchi bella ke?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tq sudi baca :)Tapi, bukan Danial memang tak berselera nak makan tanpa kimchi ke? xD nanti akak post bab 15 ye hehee

      Delete
  13. Hoo that was so sweet. Young and dangerous Bella ni. Main kejar2 pula hehee~ 파ėī팅 ėˆ˜ëĶŽė˜Ļ니 ;)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Haha..tq so much sudi baca dan komen. Nanti kak suri post bab 15

      Delete
  14. waaah bab berkembar...tq
    makin lame makin best lah cerite ni..huhuhu
    -cik anon-

    ReplyDelete
    Replies
    1. in syaa Allah akan ada bab berkembar lagi nanti..tq sudi baca dan komen ye :)

      Delete
  15. Best sgt..nti akn kuar nvl ke??

    ReplyDelete
    Replies
    1. In syaa Allah akan terbit december atau april thn depan ♡

      Delete
  16. hopefully bukan kimchi la ek... kesian si Bella tu.. tak pasai pasai ..mati pula anak teruna org tu.. kalau dia allergik ngan makanan yg disediakan oleh Bella... hmmmm.. pasal Faris pulak..adakah dia salah seorg VVIP yg dijemput hadir disitu... dan adakah hatinya Faris telah dicuri oleh Bella...

    ReplyDelete
    Replies
    1. tq so much kak ida sebab sudi baca dan berikan komen :) in syaa Allah dalam bab 15 nanti akan ade bahan yang menyebabkan danial alah..:) Bella tengah bengang dengan faris sebab ngaku bella gf die haha

      Delete
  17. Omo. Danial allergik kimchi kah?
    haih makin penasaran nak tau next entry mcm mana..
    Thanks k.suri. thumbs up. Best!

    ReplyDelete
    Replies
    1. tapi kak long ckp danial tak boleh hidup tanpa kimchi? haha..in syaa Allah bab seterusnya akan tahu apa yg danial alah..tq so much sudi baca dan komen ye :)

      Delete
  18. Thks best tak sabar tunggu next entry

    ReplyDelete
  19. Aaaarrgghhh!!! I like I like....sweet la bella n danial ni....tp faris ni menyibuk je tumbuk karang baru tau...daebak la Kak Suri

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bella tengah bengang ngan faris sebab ngaku bella gf die haha xD tq sudi baca dan komen :)

      Delete
  20. Tq kak Suri.. Haish, bila lah danial dgn bella nak berbaik.. Dpt imagine yg Danial ni lovey dovey orgnya. Hehee

    ReplyDelete
    Replies
    1. you are welcome :) tq sudi baca dan komen :) in syaa Allah nanti akan post bab 15

      Delete
  21. good job k.suri. best gila citer nie. dh laa dpt 2 bab sekali. best sngt. xsbr nk tnggu next entry.

    ReplyDelete
  22. Best... smp 2 bab.. thanks suri..

    ReplyDelete
  23. bukan alergi kimchi ni..tu kn fav dia..

    menyamph plak dgn faris..xreti bhsa betul..kui3..

    ::TR::

    ReplyDelete
    Replies
    1. thanks TR sudi mengikuti cite ni..nantikan sambungannya ye :)

      Delete
  24. best 3x dan x sabar tunggu next n3 tq.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tq so much sudi baca dan komen :) next entry will be here tonight :)

      Delete
  25. bestttt...nak lagi! :)

    ReplyDelete
  26. Best giler...next entry please...

    ReplyDelete
    Replies
    1. in syaa Allah malam ni ade bab 15. tq so much :)

      Delete
  27. allergic sbb mkm kimchi bella ke..no no no.. mesti sebab lain kot..
    ish..tak suka la faris ni..tak faham bahasa tu..harap2 dia jatuh hati kat kak long..

    ReplyDelete
    Replies
    1. in syaa Allah apa yang Danial alergi tu akan tahu malam ni xD tq so much sudi baca ye :)

      Delete
  28. Cerita ni habis dekat dalam ni or akan dibukukan?

    ReplyDelete
    Replies
    1. In syaa Allah akan diterbitkan oleh penerbitan Kaki Novel :)

      Delete
  29. Cerita ni habis dalam ni or akan dibukukan?

    ReplyDelete
  30. Tq suri...aduiii menyampah pulak dgn si faris ni...wahhh...best nya bella dh berani lawan ckp Daniel tp takpa utk menolong. ..hopefully lepas ni Daniel can be nice to Bella and start realize bella nothing like maya even though their have look and act the same..

    Kak La.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thanks Kak La for yor comments :) tq so much sebab sudi baca :) Bella pun bengang dengan encik faris lol malam ni suri post bab 15.

      Delete
  31. Replies
    1. tq so much sudi baca dan komen..:) malam ni akak post bab 15

      Delete
  32. Fuh...memang berani sungguh bella..
    Chayok2x....

    ReplyDelete
    Replies
    1. haha xD kita tengok apa yang terjadi di bab 15. Masihkah Bella seberani ini ? xD tq sudi baca dan komen :)

      Delete
  33. tak saba nak baca full novel..best..

    ReplyDelete
    Replies
    1. tq so much..novel ni akan diterbitkan hujung tahun atau tahun depan..:)

      Delete
  34. Replies
    1. tq so much sudi baca dan komen.Malam ni ade bab 15 :)

      Delete
  35. omg! semakin mendebarkan.. kesian DL, ada alergi.. huuhu. geram juga dengan En.Faris, pepandai ja cakap Bella tuh GF dia. keh!

    ReplyDelete
  36. mesti daniel alergik makan kimchi tu kot

    ReplyDelete