DAPATKAN NOVEL M.A.I.D. , ISTERI SEPARUH MASA, PLAYBOY ITU SUAMI AKU?! KIMCHI UNTUK AWAK! , KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU : WHATSAPP UNTUK ORDER - 017 714 5595

**AKAN DATANG : Filem KIMCHI UNTUK AWAK - APRIL 2017 & Drama KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU - 2017**

Saturday, 12 July 2014

Kimchi Untuk Dia [Bab 4]

Bab 4




Seperti pernah kudengar bunyi itu! Aku mula memasang telinga. Oh, bunyi troli makanan yang akan disorong keluar sekejap lagi rupanya. Ada secalit senyuman menghiasi bibir saat ini. Sleeping mask yang berada di wajah terus kucabut dan kucampak di atas riba. Rimasnya apabila tak mengantuk tetapi terpaksa memakai benda alah ini. Tanganku mengusap perut yang sedang  berkeriuk hebat.  Memang aku dah hampir kebulur gara-gara bangun lewat pagi tadi. Belum ada secebis makanan pun yang masuk ke dalam perut hari ini.

"Bella."

Kedengaran suara bisikan menampar gegendang telinga. Mata kujulingkan ke atas. Siapa lagilah dalam pesawat ini yang tahu nama aku Bella melainkan manusia sorang tu aje! Terus sahaja aku menoleh ke kiri.

"Are you okay?" Soalnya dengan wajah yang sangat prihatin.

"Ha? Okay je. Kenapa?" Soalku pula dengan sedikit pelik. Berkerut dahiku jadinya.

"Kalau lelaki tu buat apa-apa dengan awak, cepat-cepat beritahu saya." Ujarnya. Aku hanya ketawa kecil sambil mengangukkan kepala.

"Okay!"

Sebut tentang lelaki itu, aku terus melarikan pandangan pada jiran sebelah. Kosong. Hanya komputer ribanya sahaja yang masih menyala. Beberapa keping kertas kelihatan tersusun di bawah komputer riba tersebut. Di tempat duduknya pula ada sebuah buku yang agak tebal.  Dia ingat ini pejabat agaknya?

Mata kuliarkan ke arah sekeliling. Rata-rata penumpang adalah berumur 40 tahun ke atas dan memakai kot di badan. Sebahagian besar daripada mereka sedang memejamkan mata sahaja sementara menunggu makanan tiba.

Aku mengecilkan anak mata sedikit apabila pandanganku melekat kembali pada skrin komputer riba lelaki di sebelahku. Ada gambar dia bersama seorang wanitalah! Sekali lagi aku menoleh ke bahagian belakang kabin. Entah kenapa hatiku digaru rasa ingin tahu. Seperti ada sesuatu yang menarik aku untuk memerhati gambar itu dengan lebih jelas lagi. Siapalah perempuan yang paling malang tu!

Tangan kanan kuletakkan di atas tempat merehatkan lengan. Kemudian, cepat-cepat aku bergerak ke hadapan dan kepala kujengukkan ke ruang tempat duduknya. Tanpa kusedari, tangan yang tadinya berada di atas penghadang kini telah mendarat di atas tempat duduk lelaki itu.  Baru sahaja ingin memerhati gambar tersebut dengan lebih jelas, kedengaran suara orang berdehem di sebelahku.

Seperti ada dracula yang menyedut darah, aku pasti wajahku kini sudah pucat lesi.  Ada degupan pantas berlagu di dalam dada. Terus sahaja aku mendongakkan kepala dan seperti yang telah kusangka, bagaikan pedang matanya membelah anak mataku.

"I'm sorry. I did not touch anything. I swear!" Beriya-iya aku berkata begitu di dalam nada berbisik.  Janganlah dia buat scene tengking-tengking aku  kat sini. Ada rasa menyesal mencengkam diri saat ini.

Terus sahaja dia membongkokkan badan dan mencengkam lenganku yang dilapisi lengan baju berkain chiffon. Tersentak aku seketika. Aku cuba melepaskan tanganku dari cengkamannya namun tidak berjaya. Dia kemudiannya melabuhkan punggung di atas kerusi. Sebelah tangan menutup lid pada komputer riba manakala sebelah lagi tangannya masih mencengkam lenganku.

"Let me go! Do you know this is haram? Do you even know what haram is?"  Bisikku dengan nada geram sambil cuma melongarkan cengkaman tangannya tetapi tidak berjaya. Walaupun tidak sakit langsung, namun aku tetap berang! Kurang ajar betul. Senang-senang sahaja dia pegang aku!
Ada kerosakan wayar otak yang kritikal pada lelaki ini agaknya.

Dia merapatkan wajahnya sedikit ke arahku. Bau wangian yang dipakainya kini memenuhi ruangan hidung namun tidak dapat menenangkan hati yang sedang bercelaru. Aku cuba untuk menginjakkan sedikit badanku ke belakang tetapi semakin rapat pula wajahnya didekatkan kepadaku. Degup jantung yang berdetak laju kini sudah  hampir sampai ke tahap paling maksima.

"Haram??? You have violated my privacy. Do you know that?!! That was okay for you?!" Tengkingnya dalam nada berbisik. Ada senyuman sinis beraja untuk seketika di bibirnya membuatkan aku kaku.

Wajahnya yang sedikit merah saat ini memberitahuku yang dia sangat marah. Ah, mana aci! Berani dia cengkam lengan aku sedangkan aku cuit pun tidak hartanya tadi! Mamat ni dah lebih ni!

"I'm sorry but I.." Suara kukendurkan sedikit dengan harapan dia melepaskan lenganku.

 Kata-kata tersebut tidak sempat kuhabiskan gara-gara terlalu cemas dengan situasi ini. Aku risau sekiranya ada yang ternampak keadaan kami saat ini. Aku tak mahu Encik Faris salah sangka! Astaghfirullahalazim. Apa yang dah aku buat ni?

"Please let go of my hand. I beg you. Please. I did'nt even.."

Belum sempat aku memberitahunya yang aku tidak nampak pun gambar tersebut dengan jelas, dia sudah bersuara..

"Let's not meet again." Bisiknya dengan kasar.

Berang sekali wajahnya ketika berkata begitu.  Mata pula mencerlung tajam anak mataku sebelum tanganku dilepaskannya.

Ah, boleh jalanlah! Macamlah aku nak sangat jumpa kau lagi. Aku pun tak hingin! Bibir  kucebikkan sedikit namun hanya untuk seketika. Gerun pula apabila memikirkan tindakannya mencengkam lenganku sebentar tadi.

Badan kusandarkan pada tempat duduk sambil menenangkan diri. Degupan laju jantung yang berirama benar-benar menyesakkan dada.  Anak mataku hanya memerhati sahaja  lelaki itu mengemas hartanya yang bersepah di atas meja. Dengan kasar dia mencapai  briefcase hitam miliknya dan komputer riba dimasukkan ke dalam briefcase tersebut. Apabila dia berdiri sambil menjinjing briefcase, aku tahu ke mana arah yang hendak dia tuju.

Jika dia tukar tempat dengan Encik Faris, maksudnya, Encik Faris akan duduk di sebelahku. Ini bermakna, masalah baru pula akan timbul. Sudah-sudahlah buat masalah Bella.

Kelam-kabut aku mencapai beg Cath Kidston yang terdampar di atas lantai pesawat dan aku juga turut sama berdiri. Sebelum masalah baru timbul, baik aku bertindak dulu.

"Since it was my fault, I would just leave." Ujarku dalam nada berbisik kepadanya.

Walaupun anak matanya menikam jauh ke dalam  mataku dan walaupun dada masih berdegup laju, aku tetap juga cuba untuk selamba.  Sebelum berlalu, teringin pula aku hendak memulangkan paku buah keras kepadanya yang perasan bagus sangat tu!

"Let's not meet again because I hate to see a man like you!" Bisikku dengan selamba kepadanya.

Selambalah sangat Bella! Jantung ni, sedikit aje lagi dah nak tercabut. Itu kau panggil selamba?  Aku lihat dia mengetapkan bibir bersama wajah yang semakin memerah.

Sebelum jantungku tercabut, aku terus berpaling ke arah Encik Faris. Aku yang masih berdiri di tengah-tengah laluan mula melangkah beberapa tapak ke tempat duduknya di sebelah kiriku.

"Encik Faris."

Encik Faris yang tadinya memejamkan mata kini membuka luas kelopak matanya. Perempuan korea yang duduk di sebelah Encik Faris juga turut sama mendongakkan kepala memerhati gelagatku saat ini.

"Err..maaf ganggu. Encik tak kisahkan kalau kita tukar tempat duduk?" Soalku kepadanya bersama senyuman sumbing di bibir.

"Of course not, Bella. Pass beg tu kat saya." Ujarnya sambil menundingkan jari ke arah beg sandang belakang yang berada di dalam pelukanku. Beg yang kuhulur kemudiannya disambut dengan berhati-hati oleh Encik Faris dan diletakkannya di atas tempat duduk.

Perempuan Korea yang berusia dalam lingkungan umur 50-an ini kulihat terus sahaja berdiri. Seakan faham yang kami bakal bertukar tempat. Dia melangkah keluar dari ruang kerusinya dan berdiri di laluan ini bersama denganku.

"Thank you so much." Ujar Encik Faris kepadanya setelah lelaki itu melangkah keluar dari ruang tempat duduknya. Baru sahaja aku ingin melangkah masuk ke ruangan yang terletak betul-betul di sebelah tingkap pesawat itu, Encik Faris berbisik kepadaku.

"Anything, just let me know. You can always rely on me my dear."

Nasib baik tidak terjatuh rahangku ke lantai. My dear? Hati yang serabut bertambah kusut. Aku hanya mampu mengangukkan kepala sahaja.

Encik Faris Hardi, awak memang tak pernah nak faham kan? Saya tak boleh paksa diri saya untuk terima awak. Kalau ada rasa terpaksa, itu bukan cinta kerana tidak ada paksaan dalam bercinta.

Tubuh kusandarkan lemah pada kerusi sambil memandang kosong ke arah tingkap pesawat yang tertutup kemas.

Di dalam kepala saat ini, bukan kata-kata Encik Faris yang bergema tetapi insiden ketika lelaki korea yang gila itu mencengkam lenganku. Dengan perlahan aku menoleh ke arahnya yang kini berjiran dengan Encik Faris. Nampaknya dia telah sibuk kembali dengan komputer ribanya. Hanya bahagian belakang dan sisi badannya sahaja dapat kulihat dari sini.

"What do you think of him?"

Terkedu. Tergamam. Tersentak.

Aku menoleh ke sebelah kananku. Ke arah wanita korea yang duduk di sebelahku. Matanya terkatup rapat saat ini, seperti sedang tidur.

"Ish..dia ni mengigau ke?" Bisikku pada diri sendiri.

"Err..were you talking to me?" Soalku dengan berhati-hati.

"What do you think of that man?" Sekali lagi wanita tua ini menyoalku.

Aku meraupkan wajah. What do I think of that man? Siapa? Encik Faris Hardi? Hampir terhambur ketawa dari bibirku saat ini. Ah, jangan-jangan dia minat dengan Encik Faris. Kan sudah kukata, Encik Faris tu ada kelompok peminatnya yang tersendiri. Tengok, wanita umur 50-an pun minat dengannya. Tersenyum lucu aku saat ini. Reda sedikit rasanya ketegangan di dalam fikiran.

"Errr...Encik Faris?" Soalku untuk mendapatkan kepastian.

"Not him." Balas wanita yang nampak elegan dengan dress hitam paras betis di badan ini. Matanya masih tertutup rapat.

 Senyuman di bibirku terus mati. Anak mata kularikan pada krew kabin yang sudah mula menghidangkan makanan kepada para penumpang.

"Then who?" Soalku dengan penuh rasa ingin tahu.

"The man who was seating next to you." Balasnya. Memang mampu untuk buat aku terkedu.

Aku memandang tepat ke arahnya walaupun dia kelihatan seperti sedang tidur dengan mata terpejam rapat. Belum sempat aku bersuara, dia membuka mulutnya lagi.

"He is very hard to deal with. Am I right?"  Soalnya dengan mata yang masih terpejam. Ada debaran di dalam dada sebaik sahaja mendengar kata-katanya itu.

"Er..indeed." Jawabku sepatah.

Hatiku mulalah dihambat rasa pelik yang maha hebat. Siapa pulak dia ni?! Masalah apa pulak yang bakal menjengah ni?! Adoi..Bella..Bella! Memang silap besarlah kau pilih untuk terbang dengan bussiness class!

"Do you know him?" Aku memberanikan diri bertanya soalan itu kepadanya.

Namun, tidak ada sebarang jawapan yang kuterima. Termanggu-manggu sendirian aku jadinya. Selepas beberapa minit, aku mendengar dengkuran halus keluar dari bibir wanita di sebelahku ini. Rasa seperti mahu sahaja aku hantukkan kepala pada dinding pesawat. Boleh mereng aku dengan orang-orang di sini.

Aku memicit halus kepala yang semakin bercelaru. Bau makanan yang menyelerakan sudah tidak mampu membuatkan aku gembira seperti selalu. Wajah kuraupkan dengan rasa serabut yang menguasai diri. No more bussiness class sampai kiamat, Bella! No more!

***

Inilah Malaysia. Negaraku yang tercinta! Hatiku berlagu ria saat ini. Suasana di balai ketibaan Kuala Lumpur International Airport kelihatan sedikit sesak. Pastinya mereka yang ramai-ramai ini adalah ahli keluarga, saudara-mara atau rakan taulan penumpang-penumpang yang naik satu pesawat denganku tadi.

Anak mata liar memerhati ke arah sekeliling. Alhamdulillah, nampaknya kelibat Encik Faris tidak kelihatan saat ini. Di dalam hati puas aku berdoa agar kami tidak menaiki pesawat yang sama untuk balik ke Pulau Pinang nanti. Tangan kananku kini  lincah membuka zip pada beg. Telefon bimbit kukeluarkan dan aku mula melangkah dengan perlahan saat ini. Kalaulah Encik Faris tahu aku ada nombor Malaysia, memang masaklah aku! Nafas kutarik dalam-dalam saat ini. Tak sabar rasanya nak menelefon Kak Long. Tidaklah dia risau nanti. Nombor Kak Long kudail dan aku melekapkan telefon bimbit  rapat ke telinga kanan.

"Assalamualaikum Kak Long. I'm backkkk!" Bersama tawa kecil aku berbicara saat ini. Lupa seketika tentang manusia-manusia pelik yang berkongsi ruang dengan aku di atas awan tadi.

"Waalaikumussalam. Bella! Ahamdulillah, leganya hati Kak Long bila tahu Bella dah selamat sampai." Riuh suara Kak Long berbicara di hujung talian. Rindunya!!

"Kak Long ni risau sangatlah!"

Kedengaran tawa Kak Long meletus di hujung talian.

"Pukul berapa flight balik Penang nanti?"

Aku mengerutkan dahi. Pertanyaan Kak Long sudah tidak dapat kuproses dengan baik apabila ternampak kelibat seseorang di hadapan mataku. Langkah kaki yang sedang menuju ke arah balai berlepas dosmestik kini terhenti seketika.

"Bella! Kamu dengar tak ni?" Berdesing telingaku saat ini. Astaghfirullahalazim!

"Ye Kak Long. Line tak clear lah tadi. Sorry." Aku membuat helah.

Dahi kutampar dengan lembut.Ya Allah, asyik betul tengok dia sampai aku terlupa Kak Long di hujung talian. This is not good Bella! Not good at all. Aku mengingatkan diriku.

"Kak Long tanya tadi, pukul berapa flight kamu balik Penang nanti?"

"Owh..pukul 6:20 petang.  Lagi sejam lebih, Kak Long. Pukul 7:10 malam nanti Bella sampai Penang, In syaa Allah." Jawabku.

Dari sini dapat kulihat lelaki korea yang gangster lagi saiko itu dengan jelas. Dengan pantas aku menyembunyikan diri di sebalik dinding. Dapat kulihat beberapa orang lelaki terkocoh-kocoh menyambut ketibaannya. Salah seorang daripada mereka mengambil bagasi dari tangannya dan seorang lagi membawa kot serta briefcase lelaki itu.

"Baguslah tu. Maaf sangat Kak Long tak dapat ambil kamu nanti. Banyak betullah perkara yang Kak Long harus uruskan." Telinga memanglah mendengar bicara Kak Long tetapi anak mataku ligat berada pada satu-satunya lelaki yang berani mencengkam lengkanku di atas pesawat tadi.

"Takpe. Bella boleh aje naik teksi nanti."

Entah kenapa langkah kakiku juga turut sama mengikut jejak arah yang sedang dituju lelaki itu. Kalaulah Kak Long tahu apa yang aku sedang lakukan ini, pasti aku akan diberikan tazkirah olehnya.

Aku berhenti melangkah apabila sampai betul-betul di hadapan pintu keluar. Dari dalam bangunan ini, dapat kulihat sebuah kereta Jaguar berwarna hitam sudah tersedia menanti ketibaannya. Kelam-kabut lelaki berusia 50-an yang sudah siap menunggu di hadapan kereta membukakan pintu untuk lelaki tersebut.

"Amacam? Seronok naik bussiness class?"

Anak mata yang baru sahaja hendak kularikan kini kaku memandang ke arahnya apabila kulihat dengan tiba-tiba dia memandang ke arahku untuk seketika. Kelam-kabut aku menyembunyikan diri di sebalik dinding.

"Alamakkk! Dia nampak ke tak eh?" Terkeluar ayat itu dari bibir. Kalut aku jadinya.Mata kupejamkan untuk seketika.

"Bella! What's wrong with you? Lain yang Kak Long tanya, lain yang kamu jawab." Berdesing sekali lagi telingaku disergah suara Kak Long dihujung talian.

Automatik aku menjauhkan telefon bimbit dari telinga. Kalau sepuluh kali begini, mahu pecah gegendang telinga aku.

"Sorry. Line tak clear Kak Long." Itu je la alasan yang kau ada Bella!

"Seronok tak naik bussiness class?" Soalan Kak Long membuatkan aku mencebikkan bibir.

Seronok? Sempat lagi aku bertanya pada diri sendiri. Sampai begini jadinya. Seronokkah? Aku menjengukkan kepala sedikit untuk memandang ke arah lelaki itu.

"Err..bolehlah. Tapi Bella lebih sesuai terbang dengan economy class je. No more bussiness class next
time." Kalaulah Kak Long tahu apa yang terlah terjadi..

Dari sini dapat kulihat lelaki itu sedang mengenakan kaca mata hitam pada wajahnya. Kemudian, tanpa menoleh ke mana-mana, dia terus masuk ke dalam perut kereta.

"Lain macam je jawapan kamu tu Bella. By the way, Bella dah dapat upah kan? Jangan lupa tolong Kak Long nanti."

 Aku hanya membiarkan sahaja Kak Long berbicara sambil melihat kereta Jaguar hitam itu berlalu dengan pandangan mata.

"Setakat nak seterika baju Kak Long, masak  dan kemas rumah tu apalah sangat." Ha..sekarang baru boleh fokus bersembang dengan Kak Long!

"Bukan kerja-kerja tu Bella. Kerja ni lain sikit. Err..takpelah. Nanti Bella sampai Penang kita cerita panjang ye. Assalamualaikum"

 Kerja ni lain sikit? Kerja apa agaknya? Isk..lain macam aje bunyinya tu.
Aku membetulkan shawl di kepala.

"Ermm..Kak Long.."  Niat di hati untuk bertanya dengan lebih lanjut namun tidak jadi berbuat demikian apabila terlihat kelibat Encik Faris.

"Takpelah Kak Long. Nanti kita sembang panjang-panjang ye.Waalaikumussalam" Jawabku dengan pantas dan talian terus kumatikan.

Mesti Kak Long pelik dengan gelagatku saat ini. Maaflah Kak Long..sejak naik bussiness class tadi, mereng terus kepala adikmu ini.

Kelam-kabut aku menyembunyikan diri daripada pandangan Encik Faris. Janganlah dia nampak aku di sini.
Tolonglah jangan!

***

p/s : Memang tak boleh komen post ni..i hav changed the setting but still tak work. For new entry mungkin boleh nanti. Thank you so much for reading :)