DAPATKAN NOVEL M.A.I.D. , ISTERI SEPARUH MASA, PLAYBOY ITU SUAMI AKU?! KIMCHI UNTUK AWAK! , KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU : WHATSAPP UNTUK ORDER - 017 714 5595

**AKAN DATANG : Filem KIMCHI UNTUK AWAK - APRIL 2017 & Drama KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU - 2017**

Tuesday, 10 January 2017

Je t'aime, Sweetheart 100 Hari! - BAB 1



BAB 1
(**Je t'aime  bermaksud I love you dalam Bahasa Perancis**)




“This is for you. I know you’ve been looking for Issac Iskandar all these years. So, good luck, Maira Malissa!”

Masih jelas terngiang-ngiang di telinga kata-kata lelaki misteri yang berpakaian serba hitam dari atas sampai ke bawah tu. Macam James Bond pun ada! 
Tapi James Bond yang itu siap pakai topi hitam di kepala. Sudah la tak beri salam! Isk, bukan James Bond ni, tapi jebon! Sakit pulak hati aku. Manakan tidak, main approach aku macam tu aje. Nasib tak tersembur teh masala yang sedang aku hirup kat kedai mamak tu. Selepas meletakkan sampul coklat di atas meja, dia terus berlalu. Tak sempat  aku nak kejar pun. Tidak sama sekali aku menjangkakan di dalam sampul itu berisi maklumat ini. Bola mata kini tertancap pada kertas di tangan. Maklumat  yang sememangnya sudah 2 tahun aku cari dengan payahnya tiba-tiba datang bergolek di hadapan mata. Ajaib bukan?


Aku cuba mengingati paras di sebalik kaca mata hitam yang terletak kemas di wajah lelaki misteri itu namun hampa. Manakan tidak, dengan topi besar di kepala yang menutup sebahagian wajah, memang sukar sesiapa sahaja hendak melihat wajahnya dengan jelas.  Lagipun tumpuan aku hanyalah pada sampul di atas meja. Risau kut masa tu. Mana tahu dia letak bom ke apa dalam tu, tak ke niaya?
Hmm.. tertanya-tanya aku jadinya sampai ke saat ini. Apa motif awak, wahai lelaki misteri? Siapa sebenarnya awak? Pernahkah kita berjumpa? 

Ah, lantaklah. Yang penting apa yang aku cari selama ini berada dalam genggaman aku kini. Bahu kujungkitkan ke atas dan kertas di tangan kulipat dan aku masukkan semula ke dalam poket jaket. Itu cerita di Malaysia. Sekarang aku sudah sampai ke Belgium pun. Tapi boleh percaya ke mamat tu? Karang jauh-jauh aku datang, habuk pun takde!

Come on..be positive Malissa..positive!! Aku cuba memotivasikan diri.

Dari bahagian dalam kafe Le Pain de Quitidien ini anak mataku leka seketika memerhati dedaunan berwarna hijau, kuning dan coklat yang lebat berguguran dan menari di udara sebelum jatuh mencium perut bumi kemudiannya. Bersama rasa resah dan gelisah yang tidak bertepi,  shawl di leher kuketatkan sedikit. Ya Allah! Apahal sejuk sangat ni? Kedua-dua belah tangan kurapatkan dan kuusap sesama sendiri. Duduk dalam kafe yang ada sistem pemanas ni pun badan aku masih rasa beku semacam. Kalau keluar sekejap lagi, bagaimanalah agaknya ya?

Issac Iskandar.

Kerana dia, aku berada di sini. Kerana dia, aku buat keputusan gila untuk datang ke mari. Tak tahu sama ada aku harus berterima kasih atau tidak kepada lelaki misteri itu saat ini kerana memberikan aku maklumat yang bertahun aku cari. Ada sebak mula bertapak di dalam dada apabila teringatkan Iskandar tetapi cepat-cepat aku ketapkan bibir.

Malissa, remember! He doesn’t worth your tears.


 “Amboiiii! Kemain lagi ye, kau ni!”

Suara seorang gadis benar-benar membantutkan lamunanku. Siapa lagi yang memiliki suara nyaring itu kalau bukan sepupu aku si Afrina Izzati? Sudahlah tu, bahagian mataku pula ditutup kemas dengan telapak tangannya. Apa lagi, terjerit kecillah aku jadinya!

 “Zati! What’s wrong with you??”

Dengan kasar aku meleraikan lekapan tangannya di wajahku. Pantas aku menoleh dengan penuh tanda tanya ke arah gadis yang duduk betul-betul di sebelahku ni. Nasib baik kedudukan kami agak tersorok di bahagian penjuru belakang kafe. Zati mengulurkan plastik yang penuh dengan pelbagai jenis roti dan cawan kertas berisi kopi yang baru dibelinya kepadaku.

“Kau ni..cuba control sikit pandangan. Lower your gaze! Ingat aku tak tahu ke kau tengah syok layan drama 18sx kat luar tu!” Bidas Zati. Siap gelengkan kepala lagi.

Drama 18sx? Terkedu aku jadinya. Dia ni dah mereng agaknya gara-gara banyak sangat belajar. Aku tengok dedaunan kuning kat luar tu aje kut tadi. Sejak bila pula daun masuk dalam kategori 18sx?

“Drama apa??” 

Pantas aku menghalakan pandangan ke luar. Sebelah tangan menekup mulut. Ops! Mungkin itu yang Zati maksudkan! Bengong betullah dia ni.

 Sepasang  kekasih yang berambut blonde sedang memadu asmara rupanya. Siap berciuman lagi! Ada ke dia cakap aku feeling tengok aksi dorang tu?! Choiii!

“Jangan tengoklah! Isk kau ni..aku dah janji dengan Mak Ngah untuk jaga kau baik-baik. Jangan nak terpengaruh sangat dengan budaya dorang ni.” Zati mengingatkan aku dengan gaya nenek-neneknya tu.  Siap goyangkan jari telunjuk lagi. Memang dia mampu buat aku yang murung ini ketawa besar.

“Mengarut betullah kau ni. Kau ingat aku jakun sangat? Eh sorry la..setakat aksi tak senonoh macam tu tak ingin aku nak tengok. I was looking at those beautiful autumn leaves!”

Bersama sisa ketawa aku tundingkan jari ke arah deretan pokok yang kekuningan di luar sana. Kemudian, aku merenung ke arah Zati yang turut sama galak ketawa. Menampakkan barisan giginya yang cantik tersusun. Aku tahu dia memang sengaja nak sakat aku. Pipinya aku cubit dengan geram. Apa lagi menjeritlah dia.

Kalaulah dia tahu tujuan aku ke mari bukan semata-mata untuk melawatnya..haih! Boleh tersumbat agaknya telinga aku ni kerana terpaksa mendengar bebelannya nanti.

“Eleh..lower your gaze konon! Kau tu yang kena jaga pandangan! Nak aku bagitahu Pak Long tentang crush-crush kau yang berlambak tu? Hmm? Adrianus Van Vjick lah..Gerard Dujardin lah. Martijn Visser lah.. Eeee naik tergeliatlah lidah aku nak menyebut nama  orang-orang Belgium ni!” 
Bidasku. Boleh pula Zati buat muka tak puas hati.

“Gerard tu kau salah sebut! Dia ada darah Perancis. Jadi sebutannya kena betul.Ge-rharhd Du-jarh-din!” Boleh pula dia betulkan sebutan aku! Tersembur lagi ketawa dari mulut melihat gelagat dia. Muncung-muncung mulut tu menyebut. Kelakar betul!

“R tu..macam orang utara sebut R. Rhh..ha gitulah!” Ujarnya lagi sambil tersenyum simpul. Mata kujulingkan ke atas sambil menggelengkan kepala.

“Kesah lah pulak aku..crush kau, pandai-pandailah kau sebut.Bukan crush aku!” Bidasku.

Makin ketawa meleret Zati mendengar jawapan balas dari aku. Betul, bila dengan Zati kepala aku yang berat dengan masalah ini rasa ringan sikit. Kalau boleh, aku juga nak jadi seperti Zati. Aku mahu gembira seperti dia. Tapi, aku sudah silap langkah. Wajah yang tadinya ceria sedikit kini suram semula. Semakin mendung cuaca di hati. Kalaulah boleh aku putarkan masa..
Tuhan, atas dasar apa seorang Issac Iskandar sampai hati buat aku begini? Sukar untuk aku percaya orang yang bertanggung jawab beri aku bahagia sekelip mata sahaja meranapkan hati aku. Hancur. Lumat. Hingga tidak ada apa-apa lagi yang tinggal melainkan kesakitan.

“Malissa!”
Tersentak aku jadinya apabila lenganku disiku Zati.
“Apa?” Soalku sedikit pelik.
“Mengelamun lagi. What is wrong with you? Kau okay ke tak ni?” Ada nada prihatin kukesan dalam soalan kedua itu. Pantas aku menganggukkan kepala.
“Aku okay! Apa kau cakap tadi?”
“Sure ke kau boleh balik sendiri ke apartment?”  Soal gadis yang cantik bertudung satin biru ini sedikit gusar. Bersama anggukan aku menjawab soalannya.
“Very sure! Kau terus ke kampus je. Apartment kau tu bukannya jauh dari sini pun.” Jawabku.
“Kau tu baru sampai sini semalam. Aku takut kau sesat je.” Luah Zati.
“Cik Afrina Izzati..apa yang kau nak risaukan? Hmm? Kalau aku boleh sampai ke benua Eropah ni seorang diri, aku juga mesti  boleh survive bila berseorangan. Alah..tak sesat punyalah. Kalau ada apa-apa masalah, aku whatsapp kau.” Panjang lebar aku cuba meyakinkan Zati.

Kalaulah dia tahu agenda aku seterusnya untuk hari ini..silap-silap tak pergi kelas sepupu aku seorang ni. Lepas tu bernanahlah telinga aku kene dengar tazkirah dari dia!

“Janji dengan aku dulu! Kalau ada problem, kau cepat-cepat whatsapp aku.” Tegasnya. Trench coat yang panjang sampai ke betis di badannya dibetulkan sedikit manakala mata masih merenung ke mari. Aku terus menganggukkan kepala.
“Janji!”
Mungkin puas hati dengan jawapanku, Zati mencuit bahuku dan kemudiannya bersuara.
“Jom lah kita gerak kalau macam tu.” Pantas dia mencapai beg hitamnya dan dua buah buku di atas meja.
“Jom!” Balasku sepatah.

Beg plastik yang berisi dengan pelbagai jenis roti kumasukkan ke dalam beg sandang belakang  milikku. Kemudian, aku mencapai cawan kertas berisi kopi panas dari atas meja. Beg hitam ini aku galas dan aku mula mengikut langkah gadis itu menuju ke arah pintu utama kafe.
Serta-merta aku mengerutkan wajah sebaik sahaja kaki melangkah keluar dari kafe. Brr….sejuknya! Ini baru musim luruh! Kalau musim sejuk bersalji tu? Mahu keras kejung agaknya badan aku ni . Berbaloikah aku menyiksa diri di negara orang begini hanya untuk sebuah jawapan? Ada keluhan terlepas dari bibir saat ini.

 “Lisa, jumpa petang nanti. Take care.” Akhirnya Zati  bersuara sambil memeluk bahuku untuk beberapa saat.
“In syaa Allah.” Jawabku.
 “Balik terus tau. Jangan pula lepak-lepak cuci mata tengok pakwe mata biru dan hijau kat luar tu nanti.”
Zati siap goyangkan jari telunjuknya di hadapan wajah aku. Gaya macam tok wan-tok wan sangat! Ketawa besar aku jadinya.
 “Ye lahhhh! Kau ni kan memang ikut mulut tok wanlah. Ada je modal nak bebelkan aku. I think you better make a move now, Zati. Kang lewat pulak sampai kelas. Kalau tak dapat duduk tepi Ge-rharhd tu dalam kelas nanti, jangan pulak salahkan aku!”
Kelam-kabut Zati menilik jam di tangan kanannya sebaik sahaja mendengar kata-kataku. Serentak dengan itu juga dengan wajah yang berkerut dia bersuara.
“Okaylah! Bye! Jumpa petang nanti.” Balas Zati  dengan sangat kalut.

Tanpa menanti jawapan dari aku, selamba sahaja dia berlari pergi. Ha, dah lewatlah tu! Tak pun takut Gerard dikebas orang. Tergelak kecil jadinya aku. Tak tahulah aku ni jenis mudah terhibur atau dia sememangnya kelakar! Kepala kugelengkan berkali-kali.

Zati..Zati !


Cawan kertas berisi kopi kueratkan genggamannya dengan kedua-dua belah tangan untuk memanaskan jemari yang sejuk.

Université libre de Bruxelles. ” Aku berkata pada diri sendiri. Nafas kutarik sedalam-dalamnya.

Bertahun aku menanti dan hari ini aku akan pastikan aku dapat jawapannya kepada semua soalan-soalan aku. Aku sudah cukup kuat untuk semua ini. Kepala kuanggukkan dengan penuh yakin sebelum mengatur langkah. 
***
Maira Malissa

Sampai pun! Tak jauh sangat kafe tadi dengan tempat ni. Dalam 20 minit berjalan dah sampai. Alah..mudah sahaja untuk cari mana-mana tempat yang ingin dituju dengan aplikasi google maps yang aku muat naik dalam telefon bimbitku. 



Tudung yang menari-nari ditiup angin kukemaskan kedudukannya saat ini. Sekeping kertas yang hampir lunyai kemudiannya aku keluarkan dari dalam poket jaket hitamku.  Anak mata meneliti tulisan di atas kertas di tangan. Kemudian aku membandingkannya pula dengan tulisan yang tertera pada dinding bangunan ini.


ULB 
Solvay Brussels School
Economics and Management

Betullah ini bangunannya untuk fakulti ekonomi dan pengurusan. Tidak berkelip mataku merenung ke arah rekaan bangunan yang unik  dengan eksteriornya yang cantik berwarna hijau patina ini. Sama sahaja warnanya dengan Statue of Liberty di Amerika tu.
Anak mata kini melekat pada bumbungnya yang rata dan sedikit overhanging. Seakan sebuah pokok besar yang mampu berikan perlindungan ketika panas atau hujan. Jatuh cinta sudah aku dengan rekaannya. Wajah kuraup dengan sebelah tangan apabila sedar objektif aku ke mari.Hati yang sudah mula tenang sedikit kini resah kembali.

Apa agaknya yang dilakukan oleh lelaki itu di sini? Belajar atau bekerja? Kalau bekerja, kerja apa je yang usahawan sepertinya boleh lakukan di sini? Mata tertumpu pada pekerja-pekerja asing yang sedang membersihkan kawasan bangunan.

Isk logik sikit Malissa..takkan la dia datang jauh-jauh untuk sapu sampah aje? Kepala kugeleng berkali-kali.

Aku melepaskan keluhan berat sambil melemparkan pandangan pada sekumpulan pelajar yang sedang bergelak ketawa di hadapan sana sambil mengunci basikal mereka di tempat yang disediakan. Sememangnya di sini pelajar-pelajar lebih senang berbasikal ke sana ke mari. Wajah kuraupkan dengan perlahan.  Akhirnya aku bersandar pada dinding bangunan untuk seketika.

Betulkah aku sudah cukup bersedia untuk berhadapan dengan dia?

Gerak nadi semakin melaju. Fikiran terasa kosong dan buntu. Mata meliar ke kawasan sekeliling yang sudah pun penuh dengan para pelajar yang mungkin ingin menghadiri kuliah. Pelbagai bangsa, pelbagai warna semuanya sibuk mengejar ilmu.

Out of place!

Itulah yang menggambarkan keadaan perasaan aku saat ini. Bising sangat keadaan di sini namun tak mampu mengejutkan hati aku yang sudah separuh mati keadaannya.

 “Nieuwe leerling?”

Pantas aku menoleh ke sebelah kiriku apabila mendengar suara itu. Seorang lelaki yang bermata bundar sedang merenung ke arahku dengan penuh prihatin. Dia panggil aku darling ke apa, tadi? Nak makan penampar perempuan timur agaknya dia ni? Pantas aku menjegilkan mata ke arahnya.

“Niewe leerling? New student?” Ulangnya sekali lagi di dalam dua bahasa pula kali ini. Terjungkit sebelah kening lelaki berjaket biru gelap yang dipadankan dengan jeans biru itu menanti jawapan dariku. 

 Ya ampun, memang aku  dah mereng! Leerling, Malissa oi..bukan darling laa! Nasib baik aku  tak bahasakan dia tadi.

 “Nope. No..” Suaraku terkeluar juga akhirnya. Pantas aku menggelengkan kepala.

Setelah berkata begitu aku terus angkat kaki dari kawasan ini, meninggalkan lelaki yang anak matanya sama warna dengan anak mata milik Issac Iskandar itu di belakang sana. Laju jantungku berdegup saat ini.

Terbayang jelas renungan ‘bedroom eyes’ milik Issac Iskandar dengan anak matanya yang berwarna coklat chestnut.  Mampu menggugat hati sesiapa yang memandangnya. Pantas tangan kiri menekan dada. Terasa hendak tercabut jantung.

Kepala aku geleng laju-laju. Tak boleh..tak boleh! Ini baru berdepan dengan orang yang sama warna mata, belum lagi berdepan dengan dia. Ah, memang aku belum bersedia!
Kalau tadi aku benar-benar tidak sabar untuk ke mari tetapi saat ini tapi sekarang, aku rasa seperti ingin lekas-lekas pergi dari sini. Segala perasaan bercampur-baur membuatkan otakku semakin berselirat serabutnya tu.

Fizikal dan mental aku sememangnya masih letih. Maklumlah aku baru sampai semalam. Berjam-jam lamanya di atas kapal terbang membuatkan seluruh badanku lenguh dan otakku letih.

Kopi yang sudah pun sejuk di tangan kuhirup sedikit. Rasa resah dan gelisah di hati membuatkan aku bukan sahaja hilang selera untuk makan,tetapi hirup kopi pun dah tak mampu saat ini. Keluhan berat terlepas dari bibir. Otak sudah mula beri arahan supaya aku membatalkan misi.

 Perlahan-lahan aku berpaling ke belakang. Langkah kaki kuaturkan untuk keluar dari kawasan kampus yang luas ini. Ya, aku sudah tukar fikiran. Aku tak mahu berjumpa dia dalam keadaan begini. Aku tak mahu terburu-buru! Aku mahu kelihatan kuat di hadapannya sehinggakan dia tidak akan pernah menyangka yang jiwaku pernah tersiksa meratapi kehilangannya satu masa dulu.

You can do it, Malissa..err..but not today. No.

***
Kalau orang tak tahu, dari riak wajahku yang berkerut dan muram ini pasti ramai akan meneka yang aku sedang menahan kesejukan angin musim luruh yang galak bertiup. Tak pun orang ingat aku sedang menahan sakit perut nak ke tandas!

Erghh..hakikatnya,otakku sedang berserabut. Kadang-kadang aku rasa aku sudah cukup kuat untuk berhadapan dengannya tetapi adakalanya aku rasa lemah. Marah betul aku dengan diri sendiri saat ini. Sebelah tangan memegang cawan kopi yang masih penuh lagi manakala sebelah lagi tangan membetulkan shawl kotak-kotak yang melilit leher. Siap tarikkan lagi sampai menutup bahagian hidung. Nampak mata aje saat ini. Kalau boleh dengan mata-mata sekali aku nak tutup.



Ah…barulah lega sikit. Taklah sejuk seperti tadi bahagian wajahku ini.

 Anak mata kini menjalar ke sekitar kawasan kampus ini. Cantik dan tenang. Macam bandar kecil pun ye jugak. Semuanya ada dalam kampus ni. Kaki kini membelok ke sebuah lorong kecil yang sunyi. Pandangan kosong kuhalakan ke arah tanah yang penuh dengan daun kering. Itulah..gatal sangat nak kemari, Malissa! Kalaulah kau tak degil dan dengar  sikit kata ibu..

Apabila terkenangkan ibu aku mula sebak. Sakit hatiku apabila mengenangkan perbuatan keluarga Iskandar kepada kami dulu. Tapi, kenapa pedihnya bukan sekadar di hati saat ini?
Bahuku juga turut sama sakit!

Adoi! Air kopi melocak keluar dari cawan kertas dan menyimbah jaket manusia yang melanggar aku ini. Penutup cawan kertas yang sememangnya longgar itu telah pun jatuh ke tanah.

“Auchhhh!” Aku mengerang kesakitan. Astaghfirullahalazim! Kopi aku!

“Oops! Desole! (Sorry). Suara terkejut lelaki di hadapanku ini tidak mampu membuatkan aku memandang ke arahnya.

Mahal tau tak kopi tuuu!! Dalam Euro okay aku bayar tadi..Euro! Bukan Rupiah!

Sakit di bahu sudah tak terasa lagi apabila mata berada pada cawan kertas! Hanya tinggal suku! Bulat mataku menjegil, bagai hendak terkeluar dari soketnya saat ini! Apabila menyedari manusia di hadapanku ini sedang mengibas-ngibas jaketnya, aku terkaku seketika. Tidak berkelip mata memandang ke arah jaketnya yang sudah pun basah dengan siraman air kopi milikku. Dahlah jaket warna putih! Memang comot habislah.

Aduh..salah aku ke? Matilah!! Itulah Malissa, berangan lagi! Tapi, dia yang langgar aku! Salah aku jugakah?

Désolé, c’est ma faute. (Sorry, It's my fault). My fault. ” Ujar manusia di hadapanku ini dengan bersungguh-sungguh. 

Yang aku faham hanyalah perkataan ‘my fault’. Maksudnya dia mengakulah itu salah dia. Lega hati ini walaupun  kata-katanya yang di dalam Bahasa Perancis itu tidak aku fahami. Dengan rasa terkejut dan takut-takut yang masih bermaharaja lela aku memberanikan diri juga mengangkat wajah.

Issac Iskandar

“Sor..!”

Tidak terluah kata-kata maafku sekarang apabila mata berlaga dengan lelaki yang melanggarku. Mata kututup sesaat dan kubuka kembali. Issac Iskandar! Mana mungkin aku lupa raut wajah lelaki bermata coklat  ini. Menggeletar lutut gara-gara terlalu terkejut. 2 tahun aku mencarinya tapi hari ini semudah ini sahaja kami bertemu? Tak dapat ditahan sebak mula menghimpit dada.

Separuh dari hatiku mahu sahaja beri penampar jepun yang paling mantap kat pipinya yang sedikit kemerahan digigit angin musim luruh itu manakala separuh lagi hatiku ingin memeluknya dengan kemas. Menceritakan tentang deritanya aku merindui dia selama ini. Namun akhirnya aku hanya mampu terkaku. Dia juga terkedu merenung ke mari. Seakan dia mengenali paras wajahku yang hanya nampak mata sahaja ini.


Anak  mata kularikan ke arah lain. Kenapa dia renung aku begitu? Tajam. boleh tembus sampai belakang kepala ni. Erghh entah-entah dia cam shawl miliknya yang aku pakai ni! Atau dia memang cam aku walaupun aku sudah bertudung? Semakin laju jantung berkompang. Pantas aku membetulkan kedudukan shawl yang memang sejak tadi menutup bahagian bawah wajahku sampai ke hidung dengan sempurna. Kalau boleh aku tidak mahu dia cam aku. Aku tidak mahu berjumpa dia dalam keadaan lemah dan tak bersedia begini.


 “Oh mon dieu! Fais gaffe!!! (Oh my God! Watch out!)”

Suara cemas bersama ton tinggi yang  tiba-tiba muncul menyebabkan aku mengalihkan pandangan ke arah seorang lagi manusia. Seorang gadis nampaknya sedang merenung aku dengan wajah yang bengis sambil tergopoh-gapah berjalan ke mari dengan sangat cemas.


Hayfa Rania
Bertudung ayu namun gayanya tu..memang tak sesuai dengan penampilan. Aku memang tak faham apa yang dikatakannya tetapi aku yakin dia memang marah dengan aku. Muka macam melayu tapi lidahnya fasih bertutur Bahasa Perancis. Maklumlah di Belgium ini, selain daripada Bahasa Belanda, Bahasa Perancis juga diguna dengan meluas dan merupakan salah satu bahasa rasmi di sini.

“You tak apa-apa ke Issac? Kopi panas tu tak kena kulit you kan? Hishh..bodoh betul perempuan ni. Jalan tak pakai mata!”
Tersentak aku jadinya. Pantas aku meliarkan pandangan ke arah sekeliling. Nasib baik lorong sepi ini tidak ada orang yang lalu lalang. Dia ni memang orang melayu tapi adab tak macam orang melayu. Kau tu yang bodoh. Kopi panas? Kopi ni dah sejuklah! Eh eh..macamlah aku simbah kopi kat baju dia. Overnya! Lebih sudu dari kuah!

“Have we met before?”

Bukan gadis sombong itu sahaja yang terkejut saat ini, aku juga turut sama tersentak teruk. Soalan Iskandar itu membuatkan aku rasa ingin pengsan. Kenapa dia menyoal di dalam Bahasa Inggeris? Mungkin dia sudah dapat meneka siapa aku?

Keras terasa lidah untuk menjawab soalannya itu. Anak matanya dikecilkan sedikit ketika ini. Riak keliru terpampang jelas di wajahnya. Aku dan Iskandar bertentangan mata lagi untuk seketika. Terasa lemas dengan degupan jantung yang semakin celaru degupannya. Nafas aku tarik dalam-dalam saat ini. Aku cuba melawan pandangannya.

Dup dap
Dup dap

Seakan-akan aku dapat mendengar degupan jantung sendiri. Laju dan sangat kuat. Debaran semakin menjadi-jadi. Renungannya yang tadinya tajam sudah bertukar bundar. Inilah renungan yang aku rindu-rindukan itu. Renungan yang membuatkan hatiku dulu hangat bergelora. Dengan tubuh yang masih tidak surut rasa gementar aku cuba mengumpul kekuatan. Sebak terasa hati saat ini. Air jernih  yang kutahan-tahan dari muncul sudah mula mengisi ruang dalam anak mata.

Haruskah aku bertanyakan soalan yang membelenggu hidupku selama ini  kepadanya sekarang?

“Issac, I tak rasa you kenal dia. Entah-entah bisu. Dah, let’s go.”
Sempat lagi dia menjegil ke arahku saat ini. Semakin mendidih hatiku dengan perempuan ni. Aku yakin dengan keadaan aku yang hanya menampakkan bahagian atas wajah sahaja, pasti gadis ini tak perasan yang aku ni melayu. Fasih sangat-sangat berbahasa melayu.

“No, Rania..I..” Kata-kata Issac dipotong terus oleh Rania.
 “You tak kenal dia. Let’s go..jangan layan sangat perempuan buta tu. Jalan pakai lutut agaknya.”
Suara gadis itu membuatkan aku tersentak. Hujung jarinya mencuit bahu Issac Iskandar. Terus dia berpaling dengan angkuh membelakangiku. 
Siap flip tudung lagi!

Apa? Perempuan buta? Jalan pakai lutut?  Huh! Meh sini aku tunjukkan bagaimana gayanya kalau aku berjalan pakai lutut!

Bersama hati yang sakit, aku terus meninggalkan Iskandar dan mula melangkah ke arah gadis yang berada hanya setapak di hadapanku lalu merempuhnya. Tak kuat mana pun tapi mampu membuatkan air kopi  yang tinggal suku di dalam cawan aku ini tersimbah ke atasnya. Tidak ada walau setitik pun yang tinggal dah.

Teruk betul ye kalau jalan pakai lutut?  Apa lagi, histerialah dia ni. Bagai pontianak anak matanya menjegil ke arahku saat ini sambil mengibas-ngibas bahagian lengan baju dan beg yang sedikit basah.

“Heyyyy! Kurang ajarlah kau ni! Dasar manusia yang suka menyusahkan orang!!”
Bahu aku ingin ditolaknya namun ada yang menghalang.
“Rania, stop! Let’s go..kita dah lewat ni. You nak ke tertinggal flight sebab perkara remeh ni?”

Iskandar masih menghadangkan tangannya di hadapan perempuan itu. Puas hati aku. Bukan aku tak tahu yang susah sangat-sangat nak bersihkan kesan kopi yang terkena pada vachetta beg Louis Vuitton  itu. 


Bersama senyuman sinis aku terus mengangkat kaki. Laju aku berjalan menjauhi mereka namun masih kedengaran sayup-sayup suara menjengkelkan gadis bertubuh langsing di belakang sana.

“Honey..you tengoklah apa dia buat  kat I? You tahu kan berapa harga beg ni? Dan tengok coat I ni, sayang..takkan la I nak ke airport macam ni?”

Honey??
Sayang???
Rasa hendak luruh jantungku. Hampir sahaja aku menghentikan langkah dan patah balik ke arah dua orang manusia itu untuk sebuah kepastian.

“Malissa, don’t cry..stay strong. Fake a smile and move on! They don’t worth your tears.”

Bagaikan sedang membaca jampi serapah, terkumat-kamit mulutku mengulang-ulang bait-bait ayat itu sehinggakan tersekat teruk rasanya nafas saat ini. Kabur terus pandangan mata.

 Benar aku sudah cuba sadokan hati namun nampaknya tidak ada jampi serapah yang mampu menahan air jernih ini dari gugur. Air mata yang aku tahan-tahan kini mengalir laju menuruni pipi. Pandangan kosong kuhalakan ke hadapan. Laju kaki berlari saat ini. Tidak sanggup rasanya untuk menoleh ke belakang lagi. Akhirnya dari tangisan tanpa suara aku kini tersedu-sedu sendiri. 2 tahun dia tinggalkan aku. Tapi kenapa deritanya tu sampai ke hari ini? 

Bukankah hati ini sudah kurawat untuk jadi kuat tetapi kenapa terasa seperti lukaku  berdarah semula? Bagai ditoreh sekali lagi dengan sangat dalam.

Kerana gadis itukah Iskandar meninggalkan aku dulu? Mana pergi cintanya yang menghangatkan hari-hariku masa lalu? Tidakkah berbaki walau setitis? Apa dosa aku sehingga dihukum begini?


The most painful goodbye are the ones that are never said and never explained, Iskandar..

*
Assalamualaikum semua..:) Alhamdulillah,berkesempatan lagi untuk share karya baru di sini :) Maaf kalau ada kesalahan ejaan atau  kesalahan  lain sebab yang Suri share ini adalah versi belum edit. 
Thank you so much sudi baca..semua komen boleh diberikan di Facebook group : Bila Suri Ryana Menaip :) Let me know your thoughts, ladies! Terima kasih.